in , ,

Dengan Sekali Lafaz, Ernie Zakri & Syamel Sah Bergelar Suami Isteri

Tahniah diucapkan kepada penyanyi Ernie Zakri yang selamat bergelar isteri kepada penyanyi, Syamel dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka dilakukan secara tertutup dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja dan amat mementingkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Dengan sekali lafaz, Syamel dan Ernie Zakri sah bergelar suami isteri pada majlis pernikahan di Masjid Puncak Alam, Selangor pada jam 10.30 pagi tadi.

Pada majlis tertutup itu, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 27, dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Puncak Alam, Abidin Sulaiman berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.

ERNIE SYAMEL NIKAH

Syamel menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang manakala mas kahwin bernilai RM300 serta seutas gelang tangan berlian. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.

Berkongsi perasaan selepas bergelar isteri, Ernie meluahkan rasa syukur kerana majlis dirancang sempurna.

“Kami sangat lega kerana banyak cabaran dilalui apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Jadi, banyak perkara harus dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sedih kerana tidak ramai ahli keluarga dapat hadir kerana perlu patuh SOP. Namun, saya bersyukur kami sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

“Kami berharap semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik untuk kami,”

Majlis resepsi bertemakan ‘black tie’ akan dianjurkan pada 3 April depan bagi meraikan rakan artis dan media.

Pasangan yang pernah meraih trofi Artis Kolaborasi/Duo/Kumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-31 itu bertunang, Ogos tahun lalu selepas berkenalan ketika menyertai program realiti, Duo Star, empat tahun lalu.

*Sumber: Berita Harian

‘Terima kasih Syamel. Awak memang tenang’ – Ernie Zakri

Penyanyi popular, Ernie Zakri mengakui suaminya, Syamel seorang yang penyabar dan sangat memahami.

Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri ketika dihubungi berkata, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syamel kerana banyak membantu dalam urusan perkahwinan mereka.

“Syamel seorang yang sangat memahami. Dia juga sabar walau apa pun cabaran ditempuh, terutama hal nak kahwin ini.

“Dia orang yang paling relaks, tenang dan banyak menenangkan saya. Dia selalu cakap tak apa benda boleh selesai. Banyak perkara nak cakap pada dia, tapi buat masa sekarang nak ucapkan terima kasih pada dia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) baru-baru ini, dia sudah mula bekerja esok.

“Esok saya sudah bekerja dan lusa pun kami sudah mula bekerja. Dari segi kerjaya, kami akan terus aktif, malah ia lebih mudah kerana sekarang kami boleh bergerak bersama. Alhamdulillah. Kehidupan selepas kahwin pula, sama saja seperti orang lain. Masing-masing akan cuba sesuaikan diri,” katanya.

Berkongsi detik ketika diijab kabul, Ernie berkata, dia sangat gementar selain sedih apabila tidak dapat mengabadikan detik indah itu bersama keluarga lain disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan akibat penularan Covid-19.

“Perasaan masa nak nikah, sangat gementar. Dalam masa sama, kami sedih sebab kalau boleh nak semua keluarga berada bersama kami. Namun, ketika proses nikah hanya 20 orang dibenarkan berada di masjid. Kalaulah ada arwah nenek dan datuk kami ada bersama, majlis itu mungkin lebih bermakna.

“Sejurus selepas disahkan, alhamdulillah sangat lega. Sama seperti pasangan lain, kami berdepan cabaran untuk melangsungkan pernikahan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama dari segi pematuhan SOP dan dokumentasi. Sekarang saya gembira dan lega apabila semuanya sudah selesai,” katanya.

Ditanya mengenai tanggungjawab sebagai isteri sekarang, Ernie berkata, dia belum ada rasa apa-apa lagi kerana ia belum dilalui lagi. 

“Insya-Allah doakan semoga segala urusan saya dan Syamel dipermudahkan terutama selepas berkahwin kerana kami ada kerjaya sama. Jadi, pemahaman itu lebih sedikit untuk kami,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Puncak Alam, Puncak Alam, Selangor, jam 10.30 pagi, hari ini.

Mereka dinikahkan jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa Ernie, Zakri Ahmad.

Pada majlis itu, Syamel menyerahkan mas kahwin RM300 dan seutas gelang tangan berlian berserta lima dulang hantaran, manakala pihak Ernie membalas dengan tujuh dulang.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengakuan Nonny Nadirah ‘Upload’ Gambar Seksi, Mila Jirin Ajak Kembali ke Pangkal Jalan

Yung Raja Lancar Single Terbaru ‘Mami’ Dengan Alamo Records Di Amerika Syarikat