Kemelut rumah tangga antara penyanyi Deja Moss dengan suaminya, Azfendy Azzuddin akhirnya bernoktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.
Deja Moss Sah Bercerai Talak Satu
Azfendy, 39, melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Noranizan Mohd Sufian selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan plaintif (Azfendy) untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang difailkan pada 5 Mac lalu.
Noranizan kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, (defendan) menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan.
Pada prosiding itu, Deja hadir memakai jubah dan bertudung hitam, manakala Azfendy mengenakan kemeja biru dan berseluar hitam.
Pada tarikh sebutan lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik pasangan itu melaporkan gagal mendamaikan pihak-pihak.
Segalanya Berjalan Lancar
Ketika ditemui media di luar mahkamah, penyanyi dari Sarawak itu berkata, dia bersyukur segala-galanya berakhir dengan lancar.
“Alhamdulillah, lafaz tadi berjalan lancar. Doakan yang baik-baik untuk saya untuk mengharungi kehidupan baru dan bergelar ‘single’,” katanya.
Peguam Halimatunsa’diah Abu Ahmad yang mewakili Deja pula memaklumkan anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk menuntut nafkah tertunggak terhadap Azfendy pada awal bulan ini.
“Tuntutan itu adalah bagi nafkah tertunggak sejak awal perkahwinan mereka.
“Mahkamah telah menetapkan 1 November ini untuk pihak-pihak menjalani proses sulh (perbincangan) di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur,” katanya yang tidak mendedahkan jumlah nafkah tertunggak yang dituntut.
Media sebelum ini melaporkan, Deja memberitahu suaminya sudah keluar rumah pada 27 September 2017 dan sejak dari itu mereka tidak lagi berhubung.
Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.