Rasanya dah ramai tahu penyanyi terkenal Ferhad kembali mengegarkan arena seni dengan single terbaru bertajuk DEFINASI CINTA. Petang tadi, Budiey sempat menghadiri Pelancaran Muzik Video DEFINASI CINTA di Warner Music Malaysia, Petaling Jaya. Tahniah Ferhad!
Penyanyi yang sebelum ini pernah popular dengan lagu PERNAH, KASIH BERUBAH, dan HIGHER DEEPER ini mempertaruhkan single DEFINASI CINTA sebagai kemunculan semula atau ‘comeback’ dalam industri hiburan.
DEFINASI CINTA sebuah lagu yang dicipta melodi dan liriknya oleh Dr. Irma serta susunan muzik garapan Iswandy Atan. Dr. Irma Entertainment merupakan penerbit tunggal untuk lagu ini dan juga telah berkolaborasi bersama Warner Music Malaysia sebagai pengedar rasmi.
Budiey sempat bertanyakan tentang lagu DEFINASI CINTA ini. Menurut Ferhad, lagu ini berkisarkan tentang maksud emosi dan rasa cinta itu sendiri. Defin’A’si Cinta membawa maksud definasi cinta AKU, kerana cinta ditafsirkan berlainan pada hati yang berbeza. Cinta pada yang Esa, cinta pada suami/isteri, cinta pada kekasih mahupun ibu bapa. Cinta perlu wujud dalam hidup setiap insan kerana tanpa cinta, hidup akan kelam jalannya dan impian tiada dalam jiwa. Seperti lagu tanpa irama, seperti bintang tanpa cahaya, seperti diri tiada pedoman.
Ferhad mengharapkan single ini adalah sebuah hadiah yang dapat mengubat kerinduan peminatnya. Disuntik dengan sentuhan magis tersendiri oleh Dr. Irma, lagu ini cukup unik dan bakal memberikan impak mendalam dalam diri pendengar dan juga para peminat muzik tempatan. Lagu ini juga dihasilkan sebagai tanda penghargaan Ferhad kepada peminat yang tidak putus memberikan sokongan sepanjang karier beliau.
Bercakap tentang muzik video DEFINASI CINTA juga dilancarkan seiring dengan pelancaran lagu single ini dan sekarang dah boleh ditonton di Youtube, Muzik Video ini dihasilkan oleh Dr. Irma Entertainment di bawah arahan Myoko Tairo, pengarah kreatif Mamantaro dan papan cerita rekaan Dr. Irma sendiri. Berlatar belakang panorama indah di tepi pantai di Melaka, muzik video ini dihasilkan dengan kerjasama Rosa Malacca Hotel, Amirul Ismail Photography dan Platinum Apple Sound Studio Melaka.
Lagu ini mulai dapat didengari di corong radio tempatan mulai 9 Februari 2018. Single ini juga boleh distrim dan dimuat turun sepenuhnya menerusi platform digital Spotify, Apple Music, JOOX, Yonder Music, KKBOX, dan juga di iTunes. Ia juga boleh dijadikan nada dering peribadi.