Deejay Lin Mahu Kahwin Bekas Suami
PETALING JAYA: Selepas lima tahun bergelar ibu tunggal, penyampai radio Suria FM, Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 35, sedang berfikir tentang permintaan anak-anak yang mahu dia berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Kata Lin yang popular menerusi slot Suria Cinta, walaupun sebelum ini dua anaknya iaitu Nureen Areesye, 10, dan Nazreen Asyran, 8, pernah menyampaikan hajat tersebut, dia masih belum terbuka hati untuk merujuk semula dengan bekas suami yang juga merupakan jirannya.
“Memang pada lima tahun lalu, kami bercerai kerana masalah-masalah yang sudah tidak boleh ditanggung lagi. Tapi setiap manusia boleh berubah dan boleh diberi peluang kedua bukan? Tambah pula sebelum ini anak-anak dah banyak kali minta saya dan bekas suami kembali berbaik semula dan Alhamdulillah demi mereka juga, hati saya sedikit terbuka.
“Kami akan berjumpa serta berbincang apa yang patut. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Mungkin kami akan meluahkan semula tentang apa yang disukai serta tidak disukai mengenai perangai masing-masing,” katanya.
Tambah Lin walaupun hatinya terbuka untuk berada di samping bekas suaminya, dia tetap akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan.
“Insya-Allah saya akan mengerjakan umrah pada bulan April atau Mei depan dan akan berdoa serta meminta petunjuk-Nya. Bila pulang nanti mungkin saya boleh buat keputusan yang lebih jelas.
“Kalau nak tahu, sepanjang lima tahun berpisah, hampir setiap hari kami berjumpa kerana dia (bekas suami) tinggal selang beberapa pintu dengan rumah saya.
“Tambah pula, bila anak-anak mempunyai aktiviti sekolah membabitkan ibu bapa, kami akan turun padang bersama. Apa pun, saya doakan agar kami dapat membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak,” ujarnya tersenyum.
Lin telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2000 ketika menjadi penyampai radio di Best 104.9 Johor Baru dan bercerai pada tahun 2006. – via Mstar Online