Pada tahun ini, penganjurannya terus diperkasa dan tambah baik dengan menyaksikan prestij pertandingan Bintang Kecil dari peringkat nasional diangkat ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan peserta negara jiran, Republik Indonesia dan Brunei Darussalam.
Enam peserta mewakili zon semenanjung iaitu Iman Darwisy (WP Kuala Lumpur), Aeron (Negeri Sembilan), Syazril (Kedah), Azalia (Perlis), Wa’ie (Johor) dan Farha dari Selangor. Tiga peserta dari Sarawak pula adalah Qasih, Elle dan Fernandez manakala Zon Sabah diwakili oleh Danial dan Fateeha. Bakal turut memberikan saingan peserta dari Republik Indonesia iaitu Hyori manakala Farish pula mewakili Brunei Darussalam.
Debaran separuh akhir bintang Kecil 2023 yang diadakan di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching ini menyaksikan peserta akan membawakan lagu solo dan berduet secara kumpulan. Lima orang peserta akan tersingkir dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.00 seorang.
Sepanjang dua jam bersiaran, pertandingan ini menampilkan gandingan hos Azam Pitt dan Sweet Qismina.Turut membuat persembahan pada malam tersebut, artis undangan, Melissa Francis, Bob Yusof dan Naqiu.
Nantikan malam Kemuncak Bintang Kecil 2023 pula akan berlangsung pada 3 September depan, pukul 9.00 malam bertempat di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS, Kota Samarahan, Sarawak.
Pertandingan Bintang Kecil diperkenalkan di Sarawak sebelum diperluaskan ke peringkat Kebangsaan dengan penyertaan dari Semenanjung dan Sabah. Impaknya membawa manfaat besar terhadap industri seni tanah air sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai The Longest Production and Broadcast of Children Singing Competition on Radio.