in

Debaran Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan 2014

Memasuki tahun ke-17 penganjurannya diadakan di peringkat kebangsaan, Pertandingan Bintang Kecil bukanlah asing lagi di kalangan kita. Apatah lagi pertandingan ini yang mula diperkenalkan sejak tahun 1989 di peringkat Negeri Sarawak telah mengorak langkah lebih tinggi lagi dengan penganjurannya ke peringkat kebangsaan tahun 1998.

Menariknya pertandingan yang membuka penyertaan kepada golongan kanak-kanak berusia antara tujuh (7) hingga 11 tahun ini turut melebarkan penyertaannya kepada peserta berasal dari Negara Brunei Darussalam.

Debaran bakal bermula di kalangan peserta yang telah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang dibahagikan kepada dua peringkat.

Pertandingan Bintang Kecil Separuh Akhir I berlangsung pada 29 November depan, pukul 8.45 malam. Kemudiannya diikuti peringkat Pertandingan Bintang Kecil Separuh Akhir 2 berlangsung pada 6 Disember depan, pukul 8.45 malam dan kedua-duanya diadakan bertempat di Auditorium P.Ramlee, Kuching, Sarawak.

Manakala pentas kemuncak Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan 2014 dijadualkan berlangsung pada 13 Disember, pukul 8.45 malam bertempat di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung menerusi saluran TV1, pukul 9.00 malam dan pendengar radio boleh mengikuti siaran langsung di SARAWAKfm dan radio online melalui laman web www.rtmsarawak.gov.my/SARAWAKfm.

Keistimewaan diberikan kepada 16 peserta yang layak untuk mengikuti aktiviti BERAMBEH di mana peserta berkampung dan akan menghadiri sesi pembelajaran serta riadah yang diadakan selama tiga minggu bermula 22 November hingga 13 Disember 2014.

Separuh Akhir Pertama (minggu pertama) seramai 16 peserta akan membuat persembahan pada 29 November 2014 yang bakal menyaksikan empat (4) orang peserta akan disingkirkan.

Manakala Separuh Akhir Kedua (minggu kedua) seramai 12 peserta yang terpilih akan membuat persembahan pada 6 Disember 2014 dan empat (4) lagi peserta akan disingkirkan.

Seterusnya hanya lapan (8) orang sahaja yang akan membuat persembahan pada Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan 2014 pada 13 Disember 2014. 16 peserta bakal membuat persembahan pada peringkat Separuh Akhir Pertama terdiri daripada wakil Zon Semenanjung iaitu dua peserta Selangor; Nur Balqis Aleeya Shahrom, 10, dan ‘Ifwat Iz’aan Roseley, 9. Seterusnya Siti Erinshahira Jamaludin, 11, (Negeri Sembilan), Sharifah Alia Syed Azizi, 10 (Pahang), Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad, 10, dan Nurul Maimanah Abdul Qahhar, 8 (Melaka), Muhamad Akmal Zafran Zuraimi, 11, dan Afiq Zafri Fizri Zulkifli, 11, (Terengganu).

Turut bertanding peserta mewakili Zon Sarawak iaitu Abdul Rahim Ismail, 11, Muhd Harris Mukhriz Harom, 10, Abdul Halim Hisamudin, 9, dan Tiong Jie Ying, 11. Diikuti empat peserta Zon Sabah iaitu Raziq Qadree Elhamshah, 11, Nur Izhamsyah Safri Abdullah, 11, Chrisy Elvira Mathius, 10, dan Farhana Naslyn Suhailin, 9.

Saksikan bakat serta kemampuan mereka merebut tempat beraksi ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan 2014 pada 13 Disember depan di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Edcora Villa Rumah Teres Berkembar Yang Selesa Dimiliki

Telemovie Komedi Terpaku Pontianak di TV9