Program 3R (Respek, Relaks, Respon) musim baharu akhirnya memperkenalkan tiga hos iaitu Dayah Bakar, Amirah Azmi dan Yvonne Lee yang dipilih melalui program realiti Projek 3R. Pengurus Besar, Kumpulan Jenama, TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, ketiga-tiga wajah baharu ini bakal meneruskan legasi 3R sebelum ini dengan memberikan suntikan terkini kepada kaum wanita khususnya remaja.
“Program 3R musim ini bakal memberi kelainan dengan menampilkan tiga pengacara baru dengan membawa semangat baru dan dapat memberi inspirasi kepada golongan wanita. Selain itu, pelbagai isu semasa tentang wanita yang lebih segar dan relevan akan dikupas untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.”
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datin Paduka Marina Mahathir.
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Bersama, Red Communication, Lina Tan berkata, keserasian ketiga-tiga mereka dapat dilihat ketika mengendalikan tugasan yang diberikan ketika projek 3R.
“Mereka ada keserasian yang kita cari seperti hos-hos 3R sebelum ini. Saya yakin mereka dapat mengendalikan 3R dengan lebih baik dan menarik lebih ramai penonton.”
Bagi Amirah Azmi, 22, peluang yang diberikan untuk mengendalikan program tersebut tidak akan disia-siakan.
“Ini adalah impian saya sejak kecil dan saya membesar dengan program tersebut jadi saya tidak akan hampakan dan sia-siakan peluang yang diberikan ini.”
Dalam pada itu, beberapa episod menarik bakal dikupas antaranya ialah Lelaki Kaki Pukul, Perempuan Jangan Jadi Bodoh dan Takda Duit.
Program 3R musim baharu bakal disiarkan bermula 20 Oktober ini, pada setiap Ahad, pukul 7.30 malam.