AMBANG MERDEKA 2008 DI RTM1 DAN RTM2
Semarak meraikan sambutan kemerdekaan yang ke 51 dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan turut dikongsi bersama penonton setia siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Ambang Merdeka 2008 yang dipancarkan secara langsung dari lokasi Dataran Merdeka dan Bukit Bintang menerusi RTM1 dan KLCC di RTM2.
Siaran menerusi RTM1 akan bermula pada 30 Ogos 2008, jam 10.30 malam dan berakhir jam 12.30 tengah malam. Manakala siaran menerusi RTM2Â pada tarikh yang sama pula mulai jam 09.15 malam hingga 12.30 tengah malam.
Pelbagai pengisian program menarik yang dijanjikan penganjur program iaitu KEKKWA dan Petronas yang pastinya dapat menghiburkan penonton selain memenuhi matlamat utamanya iaitu menanamkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan segenap lapisan masyarakat.
Paling menarik tumpuan pastinya kemunculan nama-nama besar artis dalam industri muzik tanah air menghiburkan penonton di lokasi dan juga yang menyaksikan menerusi siaran langsung di kaca televisyen.
Persembahan yang diadakan berterusan itu merangkumi empat segmen iaitu Meniti Kemerdekaan, Menjelang Kemerdekaan, Detik Kemerdekaan dan Finale yang diadakan serentak di tiga lokasi yang dipilih seperti Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan KLCC.
Tirai segmen pertama, Meniti Kemerdekaan bermula di Dataran Merdeka dengan menyiarkan tayangan video kemerdekaan, persembahan pasukan sorak merdeka, zapin merdeka, persembahan singa/naga, Dance Of Borneo dan banyak lagi persembahan budaya yang menepati ciri-ciri pelbagai kaum di negara kita.
Manakala bertempat di Bukit Bintang pula dimulakan dengan persembahan selawat dan lagu-lagu patriotik disampaikan oleh Kumpulan Raihan, Jefrydin, Unimep, Winnie Kok, PCC (tarian singa) serta kumpulan muzik kegilaan anak muda masa kini, Estranged.
Segmen kedua pula Menjelang Kemerdekaan di Dataran Merdeka mengetengahkan penampilan Kumpulan Rabbani, Ahmad Jais, Swatari, Stacey AF6 dan Meet Uncle Hussain menguasai pentas dengan lagu-lagu antaranya Bahtera Merdeka, tari Dikir Merdeka, Kita Anak Merdeka dan Tarian Kipas Cina dilakukan kumpulan Dua Space.
Kemeriahan dan debaran diteruskan dengan segmen Detik Kemerdekaan yang membariskan persembahan artis popular mewakili kaum masing-masing iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Karen Kong, Andre Goh, Manivanam, Tofa dan Helmy The Gimmick selain persembahan lawak jenaka Baba/Nyonya yang pastinya mencetuskan gambaran perpaduan kaum di Malaysia.
Tirai Ambang Merdeka 2008 diakhiri dengan acara kemuncak ketibaan YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke pentas utama di Dataran Merdeka dengan disambut oleh peserta pelbagai kaum menuju ke pentas utama sambil menyanyikan lagu Keranamu Malaysia.
Kepada anda yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyambut detik 31 Ogos 2008 yang akan tiba diharap dapat bersama-sama memeriahkan sambutan di lokasi terlibat atau meluangkan masa menonton saluran RTM1 dan RTM2 yang pastinya menjanjikan liputan Ambang Merdeka 2008 yang bukan sahaja menghiburkan sebaliknya turut memupuk semangat nasionalisme masyarakat Malaysia.