in , ,

Datuk Seri Rossa Rakam Semula Lagu Mendiang Glen Fredly

Nada suara yang ceria pada awalnya bertukar sayu saat Datuk Seri Rossa mengimbau kenangan bersama penyanyi mendiang Glen Fredly yang menghembuskan nafas terakhir pada April 2020 akibat radang otak.

Rossa mengaku pemergian penyanyi yang popular dengan lagu Januari itu cukup membekas dalam hatinya.

Bagi Rossa, Glen bukan sekadar teman seperjuangan dalam bidang seni, malah, sahabat sejati.

“Kami memulakan karier nyanyian bersama-sama. Ketika album pertama saya muncul, dia melancarkan bingkisan sulung.

“Mulai saat itu, kami jadi rapat dan sering berduet.

“Glenn meninggalkan kita semua ketika pandemik COVID-19. Kehilangannya amat dirasai kerana beberapa bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir, kami sempat berjumpa.

“Atas dasar persahabatan itu, saya terfikir sebagai teman, apa yang patut saya lakukan untuk meneruskan legasinya.

“Saya kemudian memilih merakamkan kembali lagu Glen berjudul Sekali Ini Saja kerana ia adalah lagu kegemaran.

“Saya pernah menyanyikan lagu itu di pentas konsert di Jakarta, Ogos lalu,” katanya pada sidang media Rossa 25th Shining Years Concert secara virtual, baru-baru ini.

Konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 November ini dianjurkan dengan kerjasama Inspire Production Indonesia, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Myvitalab dan Koperasi Prihatin Nasional (KOPENA).

Ketika menyanyikan lagu bernada melankolik itu pada konsert meganya itu, tanpa disedari penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Tegar ini mengalirkan air mata hingga tular dalam media sosial.

Berkongsi detik itu, Rossa berkata, semuanya berlaku secara spontan selepas mendengar suara mendiang mendendangkan untaian indah itu di pentas bersamanya.

“Sebaik terdengar suara Glenn mengalunkan lagu itu, saya tercari-cari, di manakah dia berada.

“Situasi itu menjadikan saya sebak dan secara tiba-tiba, kenangan bersamanya kembali menerpa.

“Lama kelamaan, barulah saya tersedar dia sudah lama tiada. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu momen itu adalah kejutan dirancang pengarah muzik, Andi Rianto.

“Pada sesi latihan, tidak ada momen itu,” kata Rossa atau nama penuh, Sri Rossa Roslaina Handiyani ini.

Berkongsi mengenai penganjuran konsert sempena 25 tahun pembabitannya dalam dunia seni itu, Rossa berkata, untuk persembahan di Kuala Lumpur, dia mengundang rakan seperjuangan, Judika.

“Sebelum ini, saya undang Ariel Noah, Afgan dan bakat baharu, Lyoda.

“Untuk konsert ini, saya tampilkan Judika. Selain mahu beri nilai tambah kepada penonton, Judika dikenali di Malaysia,” katanya yang akan menyanyikan rangkaian lagu popularnya pada konsert itu.

Dalam perkembangan berkaitan, konsert penyanyi bertubuh genit ini menjadi bahan perdebatan netizen yang tidak puas hati dengan harga tiket ditawarkan hingga mencecah RM5,000.

Menjelaskan rasional harga tiket setinggi itu, Rossa berkata, selain meraikan suku abad pembabitannya dalam dunia seni dan menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya nyanyiannya, persembahannya berkonsep amal.

“Harga tiket sudah ditentukan penganjur. Sebagai konsert yang mempunyai tujuan amal, harga yang ditawarkan sangat sesuai.

“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan PRIHATIN. Sebelum ini, banyak persembahan berbentuk amal sudah saya jayakan bersama mereka,” katanya.

Sebahagian daripada jualan tiket akan disalurkan kepada dua badan amal iaitu Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih Prihatin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, berkata tiket paling mahal terhad dan sudah terjual.

“Untuk tiket kategori paling mahal itu, kami tawarkan kepada syarikat korporat. Alhamdulillah, sudah terjual.

“Untuk penonton biasa, harga tiket yang ditawarkan masih berpatutan, iaitu RM168 hingga RM1,568,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Rossa 25th Shining Years Concert boleh didapati dengan melayari www.ticket2u.com.my.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ROZITA CHE WAN

Inai Che Ta Bantu 1 Juta Wanita Di Malaysia, Kini Sah Dibawa Solat

RIUH SOKMO! BERSAMA CELCOM Berjaya Rancakkan Semula Industri Kreatif