in , ,

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Tahniah buat Datuk Seri Ismail Sabri Yang Kini Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9!

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Perkara tersebut diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara sebentar tadi.

Menurut kenyataan sama, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob mendapat jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan selepas menerima sokongan dari 114 Ahli Dewan Rakyat .

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan. Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9” menurut kenyataan itu lagi.

Angkat Sumpah Pada Jam 2.30, Sabtu 21 Ogos

Menurut kenyataan sama, majlis angkat sumpah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu akan berlangsung pada jam 2.30 esok, di Istana Negara

“Poses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara” kata kenyatan tersebut.

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Perdana Menteri Ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Perdana Menteri Ke-9

Kisah Anak Penoreh Getah Jadi Perdana Menteri Malaysia

PENTAS politik Malaysia memang gah dengan nama pelbagai pemimpin. Apabila menyebut tentang jawatan Perdana Menteri, nama yang sering diperkatakan kebiasaannya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Inilah nama-nama yang akan diadukan di gelanggang politik dalam merebut jawatan nombor satu pentadbiran negara. Malah pertembungan Dr Mahathir dan Anwar sendiri sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Dalam tempoh 10 tahun ini, memang amat jarang sekali, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi titik fokus media untuk dicanang selaku Perdana Menteri. Apatah lagi, dalam hierarki UMNO beliau baru beberapa tahun meniti tangga jawatan sebagai Naib Presiden parti.

Malah, berbanding dengan kebanyakan Perdana Menteri lain yang mungkin dilahirkan di atas ‘dulang emas’ atau pun daripada keluarga bangsawan, Ismail Sabri hanyalah anak kepada seorang penoreh getah.

Kehidupan mereka sekeluarga bukanlah sesenang yang disangka. Sumber pendapatan mereka hanyalah hasil torehan getah di ladang milik mereka sendiri.

Harga sekeping getah skrap berapa sen sahaja tetapi cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, Pahang, Ismail Sabri adalah bongsu daripada tujuh beradik.

Namun, kata orang tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu.

Hari ini, Ismail Sabri anak kepada pasangan pasangan Yaakob Abdul Rahman dan Wan Nah Wan Mamat melakar sejarah apabila mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Budak Kampung Sejati

Mengenang kembali kehidupan Ismail Sabri sejak kecil, anak saudara beliau Azhar Mohamed, 56, menggambar Ismail Sabri seorang budak kampung sejati yang biasa berkubang di sungai dan bermain di paya.

Malah ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bangau, Ismail Sabri merupakan harapan sekolah dan sering mendapat nombor satu dalam peperiksaan.

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Ismail Sabri (kanan) sewaktu zaman remaja.

“Oleh kerana jarak usia kami tidak jauh beza, ketika kecil, bapa saudara saya itu adalah rakan sepermainan di Kampung Bukit Tingkat. Kami suka mandi sungai dan main di paya.

“Ismail Sabri seorang yang berani. Budak kampung biasa la. Kalau terjun dari tebing sungai itu menjadi mainannya.

“Waktu itu tiada televisyen di rumah. Kami berdua pergi tengok wayang di Panggung Seri Termerloh. Masa itu tahun 70-an, popular dengan cerita koboi. Ismail Sabri sangat suka cerita koboi.

“Kami masuk percuma kerana tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak,” katanya mengimbau kenangan lalu.

Azhar menjelaskan, pada era 70-an, bapa Ismail Sabri membuka kedai runcit di Temerloh sementara ibu pula menjual buah-buahan di pasar Temerloh.

“Ismail Sabri ini minat dengan berniaga. Dulu dia sekolah menengah di Kuantan. Cuti sekolah sahaja dia akan tolong ibu bapanya meniaga.

“Dia juga meniaga ais krim dan meniaga permainan tikam,” katanya sambil ketawa mengenangkan peristiwa lalu.

Azhar mengakui berbangga kerana selepas berpuluh tahun terlibat dan jatuh bangun dalam dunia politik, hari ini Ismail Sabri mengakhiri kekusutan politik tanah air selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan pada Isnin.

Naib Presiden UMNO itu meraih 114 sokongan ahli Parlimen yang terdiri daripada UMNO (37); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (31); Pas (18); GPS (18); MCA (2): Bebas (4) dan masing-masing satu daripada PBRS, PBS, Star, dan MIC.

“Saya bagi pihak orang kampung, sangat bersyukur dan ia satu kebanggaan pada orang Kampung Bukit Tingkat kerana berjaya naik di peringkat tertinggi dalam dunia politik.

“Semua orang kampung suka dengan pencapaiannya itu,”

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Saat Duka Ismail

Jatuh bangun Ismail Sabri dalam dunia politik negara amat dirasai oleh insan berusia 61 tahun itu.

Ismail Sabri pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan (2008-2009); Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2009-2013); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013-2015) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015-2018).

Bagaimanapun pengalaman palit pahit Ismail Sabri sudah tentunya tatkala melihat Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 tahun 2018 sebelum seorang demi seorang sahabatnya meninggalkan parti menyertai parti lain.

Namun selepas 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Ismail Sabri kembali tampil sebagai menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), kali ini sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum naik pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu.

Sementara itu salah seorang lagi individu yang rapat dengan Ismail Sabri ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan mengakui saat kekalahan BN pada PRU14 adalah detik yang memberi impak besar kepada pemimpin itu.

Ismail Sabri suatu ketika menjadi perhatian utama masyarakat apabila saban hari, pada sidang media mengenai Covid-19, sering berpakaian baju batik.
Ketika BN tumbang di tangan PH, beberapa ahli Parlimen daripada UMNO mengambil keputusan keluar parti dengan menyertai Bersatu demi survival politik masing-masing.

Namun Ismail Sabri tetap cekal dan setia bersama parti walaupun UMNO/BN tidak lagi mempunyai kuasa dalam kerajaan.

“Dia pernah cakap secara peribadi dengan saya, walau apa pun terjadi, biarlah dia habiskan karier politik bersama UMNO. Biar akhir hayat bersama UMNO,” katanya.

Mengenali Ismail Sabri sejak 2006, Sabariah menjelaskan, Ismail Sabri seorang yang sangat merendah diri dan amat disenangi oleh penduduk di sini terutamanya di Parlimen Bera.

“Beliau bukan lahir dalam keluarga yang senang. Disebabkan itu dia dapat merasai kesusahan orang di kawasannya dan sentiasa merendah diri,” katanya.

Malah Sabariah berkata, Ismail Sabri juga merupakan guru dan mentornya dalam arena politik.

“Saya dulu merupakan kerani di pejabat Parlimen. Selepas itu saya menjadi Ketua Wanita Cawangan pada tahun 2006. Pada tahun 2018 saya bertanding sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian atas restu beliau.

“Dari segi politik, beliau tidak kedekut ilmu. Dia idola dan guru. Falsafah yang dia ajar adalah, kita jangan cipta musuh dan banyakkan kawan,” katanya.

ISMAIL SABRI

Kebangkitan Ismail Sabri Dan Kontroversinya

Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob secara rasminya telah dilantik menjadi perdana menteri Malaysia yang kesembilan.

Ia merupakan kebangkitan yang pantas buat Ismail. Kerjaya politiknya mendapat manfaat besar sepanjang tiga tahun ini.

Ismail pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) 17 tahun lepas pada 2004, dan sehingga 2018, dianggap sebagai pemimpin kelas pertengahan.

Sebelum tahun itu, dia tidak berdepan apa-apa halangan atau cabaran politik yang besar berbanding pesaing-pesaing lain yang mengejar jawatan perdana menteri.

Semua itu berubah apabila BN tewas pada PRU-14.

Tahun itu, dia hanya memperoleh 43.89 peratus undi di Bera, tetapi berjaya mempertahankan kerusinya akibat undi pembangkang yang berpecah.

Keputusan itu memberi tamparan hebat buat Umno.

Parti itu sudah pun kehilangan dua daripada pemimpin tertingginya, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal – masing-masing merupakan timbalan presiden Umno dan naib presiden Umno pada 2016.

Kemudian, selepas PRU-14, Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden parti sementara Hishammuddin Hussein pula enggan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Tinggallah Ahmad Zahid Hamidi dalam kalangan lima jawatan tertinggi di dalam hierarki parti.

Dalam kelompongan itu, nama Ismail memekar sehingga berjaya memperoleh undian terbanyak untuk pemilihan tiga jawatan naib presiden Umno pada 2018.

Itu menjadikannya ahli parlimen Umno nombor dua paling senior di belakang Zahid, memandangkan timbalan presiden Mohamad Hasan bukanlah ahli parlimen.

Apabila Zahid terpaksa bercuti pada akhir 2018, ahli parlimen Bera itu diangkat menjadi ketua pembangkang. (Ini juga menjadikannya satu-satunya ketua pembangkang yang berjaya menjadi perdana menteri).

Kedudukan ahli parlimen nombor dua di dalam Umno itu juga membuka peluang untuk dia diberikan jawatan menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), seterusnya timbalan perdana menteri – memandangkan Zahid dibelenggu perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah.

Hari ini, Ismail menjadi perdana menteri.

Sementara perkembangan kerjaya politik Ismail tidak berdepan cabaran yang besar, dia juga tidak terlepas daripada kontroversi.

Antara yang terbaru adalah peranannya sebagai sebahagian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk tidak mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang daripada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, September tahun lepas.

Langkah itu dikatakan menjadi antara punca lonjakan semula kes Covid-19 di semenanjung – kesannya masih dapat dirasakan sehingga ke hari ini.

Ismail turut terpalit kontroversi berhubung beberapa pendiriannya yang didakwa bersifat perkauman.

Pada 2015, sebagai menteri pertanian, dia menggesa orang Melayu untuk memboikot peniaga Cina bagi memaksa mereka menurunkan harga barangan.

“Majoriti pengguna ialah Melayu. Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga.

“[…] Selagi Melayu tidak berubah, selagi itulah Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu,” tulisnya.

Dia memperjelas kenyataannya itu dengan mendakwa gesaan boikot itu ditujukan hanya buat kumpulan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan.

Kenyataannya itu mengundang kemarahan ramai, baik daripada kawan mahupun lawan, termasuk ketua penerangan Bersatu kini Wan Saiful Wan Jan – yang pada ketika itu berkata “reaksi mana-mana orang Melayu atau Cina yang beriman yang berpegang kepada perpaduan Malaysia akan menjadi jijik”.

Tahun sama kemudiannya, ketika dia mengambil alih portfolio kemajuan luar bandar dan wilayah, Ismail mencadangkan ”Low Yat 2”, hanya untuk peniaga Melayu.

Ini selepas kejadian kecurian telefon di pasar raya digital Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, yang bertukar menjadi rusuhan kaum.

Ismail menafikan yang pasar raya cadangannya itu – yang kemudian dinamakan sebagai Mara Digital – bersifat perkauman. Katanya, ia hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada peniaga Melayu dan bumiputera.

Meskipun berjaya direalisasikan, dua Mara Digital di Kuantan dan Johor Bahru tutup pada 2018 dan 2019 kerana jualan yang rendah.

Pasar raya Digital Mall di Kuala Lumpur turut bergelut dengan jualan rendah, meskipun sebelum wabak Covid-19 melanda tahun lalu – tetapi masih lagi beroperasi sehingga kini.

Sementara itu, sebagai ahli parlimen pembangkang, Ismail merupakan antara yang aktif berkempen menentang rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dalam satu ucapan sebelum perhimpunan anti-Icerd pada Disember 2018, Ismail meluahkan rasa kesalnya terhadap PH yang cuba membawa lebih ramai pelajar India ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) – yang katanya untuk orang Melayu.

Mara mempunyai kuota 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera sejak 2002.

Dalam video sama, Ismail turut meluahkan rasa kesal akan keistimewaan orang Melayu yang semakin terhakis. Rakaman video itu kembali timbul dan tular apabila berita melaporkan bahawa dia bakal menjadi perdana menteri.

Pada 2015, Ismail turut dikritik aktivis pemuliharaan (conservationist) selepas gambar makan malamnya di Sabah yang turut menghidangkan telur penyu, tular.

Pemimpin Umno itu menafikan memakan telur tersebut kerana katanya dia menghidap tahap kolesterol yang tinggi. Dia kemudiannya memfailkan tindakan undang-undang ke atas akhbar Sabah, Daily Express berhubung perkara itu.

Sumber: Malaysiakini & Sinar Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Box Office di China, ON YOUR MARK Bakal Ditayangkan di Astro First Mulai 26 Ogos Ini

Yonnyboii, Zynakal & Asyraf Nasir TAK SANGKA Dengan Karya Terbaharu Mereka