Tahniah! Datuk Afdlin Shauki Dilantik Jadi Pengerusi Baharu FDAM
Pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.
Pemilihan Afdlin dibuat berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM Ke-25 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor.
Pada majlis tersebut, Afdlin menyatakan komitmen untuk membantu ahli-ahli persatuan ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi dan menaikkan kembali imej FDAM yang tercalar sebelum ini.
Menurutnya, penyertaan menjadi ahli FDAM juga terbuka pada pempengaruh digital agar mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama FDAM dan ahli-ahli senior yang banyak pengalaman mengarah.
Tambahnya, FDAM perlu sentiasa memikirkan manfaat pengarah yang menjadi ahli.
Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor, Setiausaha (Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy), Timbalan Bendahari (Terry Chan) manakala empat jawatan Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.
Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.