A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersyukur dengan keputusan itu, malah yakin kes berkenaan berpihak kepadanya.
“Alhamdulillah, sempena bulan mulia Ramadan ini, Allah mempermudahkan dan memakbulkan doa supaya keputusan memihak kepada saya.
“Sebenarnya, dari awal lagi, saya sudah yakin boleh menang kes ini kerana ia berkait perlanggaran kontrak.
“Saya harap ini memberi pengajaran kepada artis lain terutama pelapis baharu dalam industri seni,” katanya ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, hari ini.
Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan Amelia memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap A Aida Production seperti dimuat naik di Instagram (IG).
Sementara itu, peguam mewakili Amelia, Ashmadi Othman memperincikan jumlah lebih RM200,00 itu termasuk bayaran pendahuluan diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.
“Pihak Amelia perlu hormat keputusan mahkamah atas jumlah yang telah dihakimkan dan yang diputuskan Yang Arif.
“Kami akan meminta Amelia membuat pembayaran dan melakukan perintah berkaitan yang membabitkan fitnah termasuk posting IG yang dilakukan sebelum ini, perlu diturunkan selama seminggu.
“Tempoh pembayaran tidak dinyatakan. Tetapi kami minta dia membuat pembayaran secepat mungkin,” katanya.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.
Ketika perbicaraan berlangsung, pengurus produksi A Aida Production dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.
Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.
Sumber: BHOnline