A Aida berkata, kerugian besar itu termasuk beberapa projek drama yang terpaksa ditangguhkan penggambaran, kos penyelenggaraan pejabat yang merangkumi studio dan juga pekerja.
“Perbelanjaan pejabat saya saja RM250,000 sebulan. Dari PKP 1.0 sampai sekarang, saya anggarkan kerugian dalam RM1.5 juta. Tapi, saya pasrah dan reda saja. Ini kalau tiga bulan masih tidak boleh menjalani penggambaran, memang maikin banyak kerugian.
“Jadi, saya berharap kerajaan dapatlah membenarkan sektor penerbitan dan penggambaran beroperasi semula. Pihak Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) juga sudah menghantar surat kepada pihak berkenaan. Semoga rayuan kami ini didengar.
“Saya merayu tolong dan bantulah industri penerbitan kita. Ada ramai yang bekerja dengan kami. Syarikat saya sendiri ada 45 pekerja tetap. Itu belum lagi syarikat milik orang lain dan ia tidak termasuk pekerja bebas di belakang tabir. Kalau berterusan macam ini, memang semua akan susah,” katanya.
Pada masa yang sama, A Aida berkata, disebabkan PKP 3.0 proses penggambaran drama Kisah Cinta Kita yang sepatutnya ditayangkan di Slot Akasia, TV3 pada 24 Jun ini terpaksa ditunda.
Sementara itu, satu lagi penerbit, Fadzil Teh berkata, syarikat penerbitannya Zeel Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian sebanyak puluhan ribuan ringgit sebulan jika setiap jadual penggambaran terpaksa ditunda.
“Apabila penggambaran tidak boleh dijalankan setiap kali PKP, syarikat penerbitan saya rugi puluhan ribu. Walaupun tidak ada penggambaran, gaji beberapa pekerja di pejabat dan perkara lain masih perlu dibayar.
“Stesen TV pula hanya akan bayar kepada penerbit apabila produk sudah siap dan dihantar. Jadi, apabila tidak buat penggambaran, produk tak siap, macam mana nak dapat duit.
“Ini dilema yang dilalui penerbit sekarang. Malah, perkara ini sudah menjejaskan kru, pelakon dan pihak lain. Kalau memang masih tidak boleh melakukan penggambaran, tak tahu nak cakap apa lagi. Berapa banyak lagi yang akan rugi?” katanya.
Fadzil setuju dengan A Aida serta beberapa pihak PTVM untuk membuat rayuan agar pihak produksi dibenarkan membuat penggambaran bermula bulan hadapan.
“Tolonglah kami selaku penggiat industri kreatif. Di bawah kami ada ramai lagi yang perlukan pekerjaan dan pendapatan. Kalau tidak ada kerja, mereka semua tidak ada duit.
“Semua tahu, kebanyakan pekerja seni punca pendapatan daripada bidang lakonan. Jangan ‘bunuh’ kami dengan cara begini,” katanya.
*Sumber: Harian Metro