Penyanyi ternama, Dato’ Siti Nurhaliza telah diberi penghormatan untuk melancarkan Peace Yall FM, sebuah radio dalam talian berkonsepkan radio interaktif yang pertama di Malaysia. Tahniah buat Datuk AC Mizal di atas pelancaran ini. Majlis pelancaran yang cukup meriah di Zebra Square, Kuala Lumpur pada 6 Mei yang lalu. Cukup happening sekali.
Untuk info pembaca, Peace Yall FM sudah pun mula bersiaran semenjak 4 Mei lalu dengan tagline Terbaik dan Trendy. Semasa ditemui selepas majlis perasmian tersebut, AC Mizal memberitahu mengapa Siti Nurhaliza dipilih untuk melancarkan stesen radio yang berkonsep terkini itu.
“Peace Yall FM adalah sebuah stesen radio yang dimiliki oleh golongan artis, maka kami mahu seorang artis juga yang melancarkan majlis perasmian radio ini. Datuk Siti Nurhaliza mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam industri hiburan tanah air, maka kami memilih Penyanyi Nombor Satu negara ini untuk bersama-sama kami semasa detik bersejarah ini.”
Sempena majlis pelancaran Peace Yall FM, satu ‘showcase’ telah diadakan yang mana Siti Nurhaliza turut mendendangkan dua buah lagu iaitu Warna Dunia dan Lebih Indah. Juara Anugerah Juara Lagu Ke-29, Joe Flizzow dan SonaOne turut merancakkan lagi ‘showcase’ tersebut dengan persembahan hip hop mereka menerusi dua buah lagu iaitu Apa Khabar dan Havoc.
Selain itu, selaras dengan perkataan Trendy pada ‘tagline’ Peace Yall FM iaitu Terbaik dan Trendy, maka satu pertunjukan fesyen turut diadakan.
Ia menampilkan rekaan EmeldaRose yang merupakan label fesyen rekaan serta milik pelakon Emelda Rosemila yang juga merupakan veejay Peace Yall FM.
Peace Yall FM akan bersiaran 24 jam sehari dan akan beroperasi sepenuhnya melalui sistem interaktif secara aplikasi dengan hanya satu klik untuk memuat turun aplikasi di ‘Apps Store’ bagi pengguna Apple iOs atau ‘Google Play Store’ untuk pengguna sistem peranti Android.
Berkonsepkan ‘satu klik’ Peace Yall FM komited membawakan satu pengalaman yang pasti luar biasa sejajar peredaran semasa yang pastinya ‘BOOM’ Pendekatan Media alaf baru ini bertujuan menyuntik minat Generasi Y merasai inovasi teknologi masa kini dan kami di Peace Yall FM menjadi perintis membawakan Radio Interaktif bervisual dwibahasa pertama di Asia Tenggara. Antara vj yang akan mewarnai radio ini ialah Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila, Syuk Balas dan Abam Bocey. Siti Nurhaliza juga akan membuat persembahan selain, Joe Flizzow dan Sonawan.
Anda juga boleh melayari saluran interaktif ini melalui laman sesawang www.Peaceyallfm.com menerusi komputer atau pelayar mudah alih.