PERTAMA kali menghadapi kehamilan, Datuk Siti Nurhaliza ternyata begitu teruja menghadapi perubahan-perubahan yang berlaku pada dirinya.
Penyanyi nombor satu negara ini juga seperti ibu-ibu lain, mengalami alahan dan perubahan diri semasa hamil. Oleh itu, Siti telah berkongsikan pengalamannya itu menerusi entri Instagram:
“Alhamdulillah. Pengalaman mengandung adalah sesuatu yang sangat indah dan mencabar bagi Siti. Siti alami alahan kulit, heartburn, tak selera makan, sakit pinggang, penat, panas badan dan lain-lain,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sudah tentu pengalaman ini menjadi kenangan termanis buat penyanyi itu. Masakan tidak, setelah 11 tahun menunggu untuk mengandung, pasti Siti sangat menghargai setiap detik pahit manis semasa dalam proses kehamilan ini.
Dalam pada itu, Siti tetap bersyukur diberi rezeki untuk merasai pengalaman yang berharga itu. Dalam posting tersebut, Siti turut mengenangkan jasa ibunya yang tidak mampu dibalas kerana telah mengharungi alahan yang sama semata untuk melahirkan mereka adik-beradik.
“Betapa besarnya pengorbanan mak Siti dulu ya. tapi Siti tabik bila mak alami semua cabaran ini tapi masih mampu melahirkan kami lapan beradik,” tulisnya lagi.
Menurut kapsyen yang ditulisnya, jelas sekali suaminya, Datuk Khalid sangat menjaga dan mengambil berat tambah-tambah lagi apabila Siti sekarang sedang berbadan dua.
“Sekarang usia kandungan Siti hampir lima bulan. Terima kasih suami yang sentiasa memahami kerenah isterinya.
“Cuma pesan dia ‘janganlah muka asyik berkerut, nanti baby pun berkerut. Senyum sikit’.. Hahahaha..,” tambahnya lagi.
Pasangan ini sudah mendirikan rumah tangga sejak 11 tahun yang lalu, namun baru kini diberi rezeki untuk Siti mengandung.
Semoga Siti dan kandungannya berada dalam keadaan yang baik dan sihat. Tak sabar nak lihat anak sulung Siti nanti, mesti comel seperti ibunya!