Kata-kata pujangga di atas merupakan sebahagian daripada lirik dalam lagu ‘Senandung Melayuku’ yang dinyanyikan oleh M.Nasir, gubahan oleh beliau sendiri dan juga Brad Parker, manakala liriknya pula telah ditulis oleh Keon.
Lagu ini telah dicipta dan dirakam pada tahun 1998 sebagai salah satu daripada 4 lagu dalam sebuah projek album antarabangsa hasil kerjasama Luncai Emas dan bekas syarikat rakaman antarabangsa, BMG.
Namun pada waktu itu, atas dasar-dasar tertentu, lagu ‘Senandung Melayuku’ bersama dengan sebuah lagu lagi yang berjudul ‘I Have A Name’, tidak berpeluang untuk dilancarkan lalu hilang tanpa ada rancangan selanjutnya.
“Oleh kerana hal-hal tertentu, projek itu terkandas. Namun, empat lagu berjaya dirakam dan salah sebuah lagu itu adalah ‘Senandung Melayuku’.
“Ia dirakam pada 1998. Selepas terkandasnya projek album tersebut, Luncai Emas sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meneruskannya.
Tetapi, ada di antara keempat-empat lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir. Sebagai contoh lagu ‘Dalam’ yang liriknya dihasilkan Loloq,”
– Keon
Kini, pada tahun 2022, lagu Senandung Melayuku timbul semula sebagai keluaran terbaru Luncai Emas dan single terbaru Dato’ M.Nasir.
Memandangkan M.Nasir sudah lama tidak muncul dengan single baharu, Keon berkata, pihak Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan lagu itu di YouTube Luncai Emas Sdn Bhd.
Dalam lagu ini Dato’ M.Nasir telah bekerjasama dengan Brad Parker, seorang komposer dan producer yang berasal dari Amerika Syarikat.
Beliau merupakan seorang penulis yang telah banyak menyumbang kepada industri musik di sana, di mana banyak lagu tulisan beliau telah dinyanyikan oleh artis-artis popular Amerika Syarikat, seperti Cher, Richard Page, Kieran Goss dan juga artis-artis Asia seperti Andy Lau di Hong Kong dan Jaya di Filipina.
Lirik Senandung Melayuku ditulis oleh Keon, seorang penulis lirik yang tidak lagi asing dalam industri muzik tanah air. Banyak lirik yang dipena beliau dan lagu-lagu yang membawanya telah menjadi ‘hit’, seperti Relaku Pujuk oleh Spider, Kejoraku Bersatu oleh Search, Joget Angan Tak Sudah oleh Jay Jay, Tunggu Aku Datang oleh Hazama , Di Bayang Awan oleh Awie , Raguku oleh ELLA dan banyak lagi.
Keon berkata “Bila diminta menulis lirik untuk lagu ‘Senandung Melayuku’, saya terkejut. Tak sangka dia minta saya menulis lirik lagu yang dia sendiri akan nyanyikan. “Selama bersama dan membantu kerjaya muzik beliau, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk menghasilkan lirik lagu buat beliau,” katanya.
Menurut Keon lagi, sebagai pencipta lagu, M.Nasir mempunyai pilihan untuk menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya.
Tahun lepas, Senandung Melayuku juga telah menjadi lagu pembukaan bagi MATHNAWI, sebuah dokumentari pendidikan RTM 13 Episod terbitan Luncai Emas, yang menceritakan tentang sejarah karya- karya agung lama Tanah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalatus Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Pelayaran Abdullah dan lain-lain lagi.
“Ia telah pun ditayangkan di RTM awal tahun ini,” katanya.
Team Luncai Emas juga berpendapat, walaupun ianya bukan karya baharu, namun ia jarang didengar serta tidak diketahui peminat di luar sana.
Sebuah video lirik rasmi untuk single ini telah pun sedia dimuatnaikkan ke dalam laman Youtube Luncai Emas untuk tontonan semua. Lagu Senandung Melayuku juga boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Deezer, JOOX dan sebagainya.
“Ramai suka bunyian dalam lagu ini. Mereka kata sedap. Memang mengakui kehebatan kolaborasi M Nasir Dan Brad Parker,”.
“Lagu ini untuk dendangan M Nasir dan pastilah beliau meletakkan harapan dan jangkaan tinggi untuk saya hasilkan yang terbaik’’. “Alhamdulillah, selepas menghasilkan lirik ini buat pertama kali, beliau terus terima dan merakam suara’’ . kata Keon lagi.
Sejak ia mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari lalu, maklum balas peminat sangat positif.
Luncai Emas berharap dengan rilisan lagu ‘Senandung Melayuku’ ini dapat mengubat rindu untuk semua peminat Dato’ M.Nasir dan masyarakat luar di sana yang sentiasa menyokong kerjayanya serta yang pasti sudah lama menanti karya terbarunya.
LIRIK SENANDUNG MELAYUKU
M.Nasir
GODAANMU PADUKA RATU
DI WILAYAH BUMI MELAYU
KU DAMBA PETUNJUK DARIMU
BISA JADI PENAKLUK KALBU
TANAH INI KAMPUNG KENCANA
SUBURKAN IA DENGAN FATANA
BIAR BERTEMPIK PUNCAK KINABALU
MUNTAHAN API KARAKATAO
ADAT DAN KATA HILANG TAK MUNGKIN HILANG
SIN SYIN SAD … SINI KAU BERSEMENDA
SIN SYIN SAD … SINI KAU BERPESAKA
SIN SYIN SAD … SINI ENGKAU BERTANDA
SIN SYIN SAD
Aaa… Aaa… Aaa
SIMBAHKAN KARUNIA
GEMA SAKTI IRAMA NAFIRI
DALAM JIWAMU ADA SETERU
MUSNAHKAN IA JANGAN KAU RAGU
JIKA BERTEMBUNG AKAL DAN NAFSU
PILIHANMU HANYALAH SATU
LEPASKAN INI ENGKAU MARTABAT RATU
RIBUT LAUT DALAM
PANDAI MALIM LAWAN
RIBUT KITA TENGKUJUH BADAN
JANGAN SAMPAI KARAM
ASAL KITA DIALAH
MAKAM DIA SAYANG
ASAL KITA DIALAH
KITA RINDU RAWAN
Lagu : M.Nasir & Brad Parker
Lirik : Keon
Hakcipta Lagu : Luncai Emas Sdn Bhd & BMG Publishing
Hakcipta Lirik : Luncai Emas Sdn Bhd
Hakcipta Rakaman : P2007 LUNCAI EMAS SDN BHD