Pelakon Datin Eina Azman, 20, menafikan dia hamil sebaliknya memberitahu berat badannya naik kerana selera makannya bertambah apabila tiada aktiviti seni.
“Suami saya pun jenis kuat makan dan jenis tak suka makan luar. Jadi hampir kebanyakan waktu kami makan di rumah dan saya akan memasak makanan kegemarannya seperti Masak Lemak Ketam Cili Padi. Apabila selalu memasak, saya pun terjebak makan sekali.
“Mana berat badan saya tak naik hingga lima kilogram. Saya pun banyak menghabiskan masa di rumah dan bersamanya. Suami cakap saya hanya boleh berlakon selepas majlis persandingan hujung bulan ini berakhir,” katanya sambil memberitahu suami hanya akan menggunakan khidmat pembantu rumah selepas beliau melahirkan anak.
“Saya belum ada rezeki untuk mengandung. Sentap juga bila orang sangka saya sudah bersalin sedangkan berat badan naik. Tapi tak mengapa ia umpama doa dan saya serta suami mengharapkan rumah tangga kami akan dikurniakan cahaya mata secepat mungkin,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, pada 31 Ogos tahun lalu.
Eina memberitahu beliau dan suami juga sudah berbulan madu ke Kepulauan Maldives September tahun lalu selama dua minggu dan diikuti ke Gold Coast, Australia pada November lalu.
sumber: Berita Harian