Kempen Ramadan Raya Indahkan Memori anjuran TV3 membawa drama popular, Keluarga Itu, ke dunia nyata melalui acara iftar istimewa yang berlangsung dengan meriah di LADO By The Lake, Shah Alam, baru-baru ini. Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar acara santai, tetapi peluang emas bagi peminat tegar untuk berinteraksi secara dekat dengan para pelakon kesayangan mereka.
Majlis yang mendapat sokongan penuh daripada Samsung ini turut bertujuan mempromosi drama fenomena tersebut sambil meningkatkan penglibatan penonton dalam suasana Ramadan penuh kasih sayang. Bertemakan “Ramadan Bersama: Kasih dan Keberkatan”, suasana harmoni acara dimulakan dengan meriah menerusi nyanyian lagu raya oleh penyanyi popular, Shahrul Kamal, yang nyata mencetuskan semangat nostalgia raya di kalangan tetamu.
Gelak Tawa & Emosi Bersatu dalam Permainan Interaktif
Majlis bertambah meriah dengan sesi permainan interaktif yang sangat menghiburkan antara pelakon-pelakon utama drama seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aishah, Muaz Zabir, Puteri Balqis, dan Melissa Campbell bersama peminat bertuah. Sorakan dan gelak tawa tetamu bergema di seluruh dewan, mencipta suasana akrab sebelum masuknya waktu berbuka puasa. Majlis ini kemudiannya diakhiri dengan persembahan istimewa lagu-lagu raya oleh duo berbakat, Shiha Zikir dan Ida Zikir, yang menceriakan lagi suasana.
Keluarga Itu Bukan Sekadar Drama Biasa
Drama Keluarga Itu bukan sekadar tontonan santai. Sejak mula ditayangkan pada 28 Februari lalu, drama ini mencetuskan pelbagai reaksi hangat di kalangan penonton. Ia membawa tema-tema sensitif seperti pergolakan rumah tangga, penderitaan anak-anak, serta cabaran membesarkan anak istimewa dengan autisme. Kisah-kisah dalam drama ini mengundang emosi marah, kecewa, jijik, malah simpati mendalam di kalangan penonton, sekaligus membuka ruang perbincangan mengenai realiti pahit dalam institusi keluarga.
Lebih mendalam, drama ini mengingatkan penonton tentang realiti sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian. Ia bukan imaginasi semata, tetapi mencerminkan isu pengkhianatan keluarga dan cabaran emosi yang dialami sesetengah individu di luar sana. Reaksi yang diperolehi ternyata melebihi jangkaan, malah membuka ruang kepada perkongsian pengalaman peribadi penonton yang merasai sendiri kesan perit pengkhianatan keluarga.
TikTok Jadi Platform Kisah Erat Kekeluargaan
Tidak hanya berhenti di kaca TV, kolaborasi bersama Samsung juga menghasilkan siri TikTok menarik bertajuk Keluarga Antara Insan. Siri ini membawa penonton menyelami kehidupan komuniti Taman Antara Insan, yang berkisar tentang konflik kecil antara dua jiran, Dahlia dan Amir. Konflik bermula dengan insiden melibatkan seekor kucing dan calar pada kereta Amir. Namun, sokongan komuniti menjadikan konflik tersebut satu persahabatan dan ukhuwah yang penuh kasih sayang dan gelak ketawa dalam suasana Ramadan yang kian menghampiri.
Menariknya, dua bintang utama Keluarga Itu, Muaz Zabir dan Puteri Balqis, turut menerajui siri TikTok ini bersama Aleza Shadan dan Amirulhakim Lokman. Siri ini boleh ditonton di platform TikTok menerusi akaun rasmi @samsungmalaysia dan @TV3Malaysia. Pastikan anda tidak ketinggalan mengikuti siri ini untuk lebih merasai kemeriahan Ramadan.
Jangan Lepaskan Peluang Merakamkan Memori Indah Anda!
Bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengikuti pelbagai program menarik sempena kempen Ramadan Raya di TV3, TV9 dan Tonton, jangan lupa untuk mengikuti laman media sosial rasmi kami di Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia, @TV9Malaysia, dan @TontonMY. Jangan lupa juga untuk menggunakan tanda pagar rasmi #IndahkanMemori ketika anda berkongsi momen-momen terindah sepanjang Ramadan ini.
Apa Kata Budiey?
Budiey merasakan acara seperti ini amat baik kerana ia bukan sahaja mendekatkan peminat dengan pelakon kegemaran mereka tetapi juga menampilkan tema-tema penting yang jarang dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat kita. Budiey percaya inisiatif begini harus diteruskan pada masa hadapan kerana ia boleh menjadi platform pendidikan sambil berhibur, memberi kesedaran kepada masyarakat tentang realiti kehidupan serta pentingnya hubungan kekeluargaan yang erat, terutama di bulan Ramadan yang mulia ini.