Nakhoda kapal kelahiran Malaysia, Juhazwan Junaidi atau lebih dikenali sebagai Awan, membuat kemunculan dalam industri muzik tempatan dengan single pertamanya The Selawat. Pelaut yang beralih kerjaya menjadi seorang pemuzik itu telah menggubah, menerbit, dan mengarahkan video muzik rasmi single berkenaan menerusi syarikat produksi miliknya sendiri, HeyYa Media.
Didorong oleh minatnya untuk mencipta lagu-lagu dakwah yang berbeza daripada lagu-lagu lain yang tergolong di dalam genre ini, The Selawat menerokai usaha mencari keredhaan Allah s.w.t menerusi junjungan Nabi Muhammad (s.a.w) serta menerokai pelbagai cara untuk seseorang muslim itu menzahirkan keimanannya. Awan berharap semoga The Selawat dapat mengingatkan para pendengar tentang segala ajaran serta amalan sunnah Nabi (s.a.w) yang patut diteladani.
Datang daripada keluarga berlatarbelakangkan muzik, Awan membesar melihat Allahyarham datuknya bermain biola dan menggubah pelbagai lagu tradisional. Selain itu, pakcik dan sepupunya juga turut berkecimpung dalam arena muzik arus perdana dan underground, menguatkan lagi keazaman beliau untuk mencipta muziknya sendiri sejak dari kecil lagi.
Sejak dari muda, Awan sememangnya meminati muzik, di mana beliau mendapat ilham daripada artis-artis terkenal seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan KRU. Namun hanya setelah memasuki asrama tahfiz barulah beliau mula mengenali genre nasyid, lagu-lagu dakwah yang sering didendangkan secara acapella atau diiringi dengan alunan muzik yang menenangkan. Walaupun hatinya sentiasa berpaut dengan genre tersebut, beliau tetap menyimpan azam untuk mencipta dan menggubah lagu-lagu dakwah yang berbeza daripada apa yang biasa didengari.
“Lagu-lagu dakwah sememangnya sinonim dengan sesuatu yang serius. Dan saya mahu keluar daripada kepompong itu tetapi pada masa yang sama masih kekal sopan. Kita tidak mahu bersikap biadab terhadap agama. Islam adalah agama yang suci dan saya akan sentiasa menghormatinya,†kata Awan. “Maka terhasil lah The Selawat. Harapan saya ialah untuk memudahkan orang ramai berselawat dan elemen muzik dapat membantu ke arah usaha itu.â€
Pelancaran single terbarunya itu turut disusuli dengan pelancaran rasmi syarikat penerbitan miliknya sendiri, HeyYa Media. Inspirasi di sebalik penubuhan studio ini lahir daripada keinginan untuk menghasilkan kandungan yang mampu memberikan sebuah penceritaan, berbanding hanya sekadar bersifat estetik semata-mata. Awan bekerjasama dengan beberapa rakannya yang masing-masing mempunyai latar belakang berbeza dan salah seorang daripada mereka ialah bekas penyanyi kumpulan nasyid Mirwana untuk menghasilkan video muzik The Selawat dan bekerja dari rumah, dengan pasukannya, untuk menyunting dan menerbitkan video berkenaan.
Susulan pelancaran The Selawat, Awan berharap untuk menyiapkan dua lagu baru gubahannya sebelum Jun 2021, yang mana salah satu daripadanya berkemungkinan besar akan dihasilkan secara kolaborasi.
“InsyaAllah, mungkin menjelang tempoh itu saya dapat menyiapkan sebuah lagu duet untuk seseorang. Namun saya tidak akan berhenti untuk mencipta lagu, kerana ia adalah minat saya dan tiada siapa dapat menghalangnya,†jelas Awan.
Dengar The Selawat di sini
Saksikan video rasmi The Selawat di sini.Â