Bagaimanapun, Daqmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap, 53, berkata tiada sekelumit perasaan terkilan atau kecewa kerana menganggap itu bukan rezekinya.
“Lagu belum diberi judul saya serahkan pada pihak pengurusan penyanyi berkenaan pada November 2022. Namun, sehingga hari ini, mereka senyap begitu sahaja.
– Daqmie
“Saya tidak terasa hati kerana saya profesional. Lagu ini masih ada lagi dalam simpanan saya. Kalau ada sesiapa yang nak, bolehlah datang jumpa saya,”
Ditanya mengapa tidak bertemu dengan Naufal dan Nuha bertanyakan mengenai hasratnya itu, Daqmie berkata, dia enggan melangkau batasan.
“Saya ini ibarat kontraktor. Jadi, biarlah saya berurusan dengan syarikat pengurusan serta label sahaja.
– Daqmie
“Lagipun, saya pernah sekali sahaja berjumpa penyanyi berkenaan dalam satu acara anjuran label mereka. Itu pun ketika mula-mula lagu Casablanca ‘meletup’,”
Daqmie ditemui pada majlis pelancaran album Ramadan 1445 yang diadakan di Bukit Aman, baru-baru ini.
Mengulas keyakinannya terhadap karya yang menjadi kesinambungan kepada lagu Casablanca, Daqmie optimis lagu itu mampu mengulangi fenomena yang pernah dicetuskan sebelum ini.
“Lagipun Naufal dan Nuha mempunyai pengikut tersendiri dan saya percaya bila mereka menyanyikannya, pasti lagu ini akan mendapat sambutan seperti lagu Casablanca atau mungkin akan pergi lebih jauh lagi,”
– Daqmie
Terdahulu, lagu dan video muzik Casablanca mencipta fenomena apabila menjadi karya Malaysia pertama mengungguli carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.
Selain itu, lagu bergenre Melayu dan Arab itu berada di tangga teratas Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hits, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music sejak dilancarkan 4 Jun 2022.
Menerusi aplikasi TikTok dan Instagram, lagu terbitan Universal Music Malaysia dan Bee GoodMedia itu terus mencuri perhatian apabila dijadikan muzik latar bagi kebanyakan video dihasilkan pengguna laman sosial.