Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad “Empat perkara yang membawa kebahagiaan ialah isteri yang baik, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.”
Namun begitu, dalam dunia penuh cabaran ini, tidak semua bernasib baik dalam membina keluarga sempurna serba lengkap. Ada sahaja ujian dan rintangan yang memaksa mereka untuk hidup seadanya sahaja.
Ada keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan kronik. Ada juga keluarga yang perlu bersesak di rumah kecil dan berlapar mengikat perut untuk meneruskan kehidupan selagi jantung berdegup.
Mengambil kira peri pentingnya saranan Baginda Rasulullah SAW, TV AlHijrah tampil menyiarkan program MY H.A.U.S pada setiap Isnin, jam 9 malam.
MY H.A.U.S adalah hasil cetusan idea YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyantuni golongan asnaf menerusi program baik pulih rumah kediaman.
Semenjak disiarkan pada 25 Januari 2021 yang lalu, penerimaan penonton terhadap rancangan ini amat memberangsangkan dengan catatan prestasi rating yang sangat baik.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, “Penonton Malaysia cakna dengan kesusahan masyarakat setempat. Kami terima banyak emel aduan dan cadangan yang memaklumkan kondisi rumah masyarakat setempat serta jiran tetangga mereka yang memerlukan bantuan baik pulih.
“Pada musim pertama rancangan MY H.A.U.S ini, tiga belas keluarga asnaf sekitar Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang dan Terengganu telah dikenal pasti dengan bantuan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM). Kesemua mereka ini kami jadikan responden yang berpeluang menikmati bantuan baik pulih rumah kediaman.
“Apa yang menarik, bukan sahaja dibantu pihak penaja dan pihak berkuasa tempatan, usaha kami ini turut mendapat kerjasama dan penglibatan persatuan dan penduduk kampung sekitar yang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah responden.
“Kami amat berterima kasih dan doakan. Insyaallah, seandainya ada peluang,kita cuba lanjutkan rancangan ini untuk musim kedua,” jelas Namanzee.
Katanya, selain baik pulih rumah, aspek penting lain yang diperlukan dalam pembentukan keluarga bahagia adalah santapan rohani dan pembentukan sahsiah bersama.
“MY H.A.U.S turut mengundang saudara Syamsul Debat bagi memberikan sedikit perkongsian rohani bersama buat para asnaf dan juga penduduk setempat. Pengisian ini memposisikan TV AlHijrah sebagai stesen yang mendengar nadi denyut rakyat serta stesen penenang jiwa yang memeluk emosi semua,” tambah Namanzee.
Rancangan MY H.A.U.S episod kelima yang bakal disiarkan pada Isnin, 22 Februari 2021 akan datang membawakan tagline istimewa “Dalam Rezeki Kita Ada Hak Orang Lain”.
Episod ini memaparkan kisah seorang ibu tunggal dari Kampung Teluk Payang, Bota Kiri Perak yang tidak mengenal erti putus asa dalam membesarkan anak-anak tercinta walaupun kesempitan hidup. Disebalik sakit yang dideritainya akibat kemalangan di tempat kerja, Puan Norhayati Said masih bertungkus lumus mencari rezeki yang halal buat keluarganya, Beliau tetap bersyukur walau mendiami rumah uzur yang seringkali dimasuki air hujan akibat kebocoran.
Deraian air mata kesyukuran Norhayati Said tatkala melihat rumahnya siap diubahsuai pastinya membuka mata dan hati penonton untuk sentiasa bersyukur dan menghulur tangan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Dengarkan juga tazkirah saudara Syamsul Debat dengan judul “Jaga kebersihan Tanda Syukur” yang disampaikan di Masjid Fadzlullah Kampung Telok Kepayang Bota Kiri Perak.
Jadi jangan lupa untuk menonton MY. H.A.U.S episod lima, Isnin, 9 malam hanya di TV AlHijrah.