Dato’ Sri Siti Nurhaliza mendakwa ada beberapa pihak menyamar sebagai ahli kelab peminatnya iaitu SitiZoners untuk mensensasikan sesuatu isu dan keadaan. Penyanyi tersebut terpaksa campur tangan dan menegur perbuatan pihak terbabit menerusi laman akaun Twitter rasmi miliknya baru-baru ini.
“Sebagai seorang artis yang ada peminat sendiri, ada masanya saya perlu mengingatkan mereka dengan cara yang tidak kasar.
Mereka bukanlah peminat pun, ada yang mengatakan mereka siti zoners saya tapi sebenarnya mereka ambil peluang itu untuk menghangatkan sesuatu keadaan. Jadi teguran itu saya keluarkan supaya mereka faham.
Tapi untuk peminat saya, setakat ini memang saya ada ruang sendiri untuk bercakap dengan mereka.
Ruang itulah yang saya gunakan sebaiknya untuk menghargai dan menegur dengan bahasa yang baik. Dalam teguran pun ada adabnya. Peminat saya juga faham dengan cara saya bekerja,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis pelancaran emas YaPEIM Gold sempena meraikan Jubli Siti 25 tahun.
Bukan itu sahaja penyanyi lagu ‘Biarlah Rahsia’ itu juga berharap agar semua pihak boleh menghargai hasil kerja orang lain dan berhenti memperlekehkan usaha seseorang.
Dalam pada itu, Siti juga meminta orang ramai mendoakan agar dipermudahkan proses bersalinnya yang dijangka awal Ramadan ini.
Dato’ Seri Siti Nurhaliza bakal menimang cahaya mata kedua iaitu bayi lelaki tidak lama lagi apabila beliau dijangka bersalin awal Ramadan ini.
Meskipun bukan pengalaman pertama, namun Siti akui berdebar untuk melalui proses bersalin sekali lagi serta memohon peminat mendoakan segala urusan dipermudahkan.
“Insya-Allah tak lama lagi saya akan bersalin dan berpantang. Doakan semoga proses itu berjalan lancar dalam beberapa hari saja lagi. Saya yakin setiap ibu yang pernah melalui proses bersalin pasti gementar.
“Lebih lagi, setiap pengalaman tidak sama. Pengalaman bersalin kali pertama tentu tidak sama dengan kedua. Jadi, saya memohon agar mendoakan proses bersalin berjalan dengan lancar dan dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, Siti memberitahu bahawa bayi keduanya itu sebenarnya merupakan kembar kepada anak sulungnya iaitu Siti Aafiyah, namun embrio tersebut disimpan terlebih dahulu.
Untuk makluman, Siti mendirikan rumah tangga bersama Datuk Khalid Muhammad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun.
Pelancaran emas bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ini merupakan majlis terakhir yang dihadiri Siti sebelum bercuti panjang untuk memberi fokus kepada kandungan dan keluarganya.
Orang awam boleh mendapatkan wafer emas edisi Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini di platform digital YaPEIM (DiYA), aplikasi AVANA dan outlet YaPEIM Gold.