Ezany Nizariff, 45, yang juga pelakon drama popular Natasha mendakwa, dia terpaksa membuat laporan polis untuk mempertahankan diri selepas menyedari dirinya dituduh dengan pelbagai dakwaan tidak masuk akal termasuk gangguan seksual yang diterimanya.
Pelakon itu berkata, dia sebenarnya mengenali dan bekerjasama dengan usahawan itu sejak November tahun lalu serta sama-sama membangunkan syarikat kosmetik milik wanita itu.
Selebriti ini ditemui media semasa buat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers untuk polis menyiasat gelaran Datuk digunakan wanita itu.
“Tetapi sejak kebelakangan ini, saya mendengar pelbagai cerita buruk terhadap saya termasuk satu laporan polis yang mendakwa saya melarikan aset dan pecah amanah.
“Saya menafikan itu semua berlaku dan laporan polis ini untuk membersihkan segala tuduhan terhadap saya. Sebenarnya saya sudah tidak mempunyai kaitan dengan syarikat itu,”
Ditanya mengenai masalah sebenar apabila namanya dikaitkan dengan tuduhan itu, Ezany mendakwa, ia berkemungkinan berlaku selepas dia bersungguh-sungguh membangunkan syarikat kosmetik itu.
“Mungkin dia tidak senang saya berjaya menyelesaikan pelbagai masalah timbul khususnya yang dihadapi stokis kosmetik itu,”
Selain Ezany, turut membuat laporan polis itu adalah pelakon dan pelawak Farouk Hussein, pelakon, Dazrin Kamarudin, penyanyi baharu, Iszmad Harun, pelakon, Hafiz Bahari dan seorang bekas pekerja, Najib Muhamad.
Sementara itu, Farouk turut membuat laporan polis selepas dituduh melarikan aset seperti komputer dan sebuah kereta Volvo.
“Saya pernah bekerjasama dengan usahawan ini beberapa tahun dengan menjadi duta produknya dan selepas itu, saya tidak mempunyai kaitan langsung kerana beberapa duta lain dilantik.
“Bagaimanapun, terbaru saya mendapat khabar mengatakan saya melarikan aset syarikat termasuk sebuah kereta. Sebenarnya kereta Volvo itu milik saya yang dibeli sendiri menggunakan wang sendiri,”
Farouk berkata, kereta Volvo itu pernah digunakan sebagai tarikan pemasaran ketika dia menjadi duta produk, malah mendakwa, dia turut difitnah mahu mendapatkan sejumlah besar saham syarikat.
Sumber: Berita Harian