Dain mendapat tahu kemenangannya melalui e-mel dilayangkan penganjur festival berkenaan kepadanya.
Ditanya apakah kemenangan itu memberi petanda awal filem Harum Malam bakal meraih kejayaan pada Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang, Dain menyerahkan perkara itu kepada juri.
“Saya tidak tahu hendak komen apa. Terpulang kepada komuniti juri dan cita rasa mereka.
“Fokus saya lebih kepada projek filem seterusnya. Saya ada skrip yang sudah diusahakan sejak beberapa tahun lalu.
“Genrenya adalah aksi dan berkisar kepada dunia gangster serta ada kaitan dengan sejarah. Saya sudah berbincang dengan Astro Shaw… Tunggu sahaja perkembangannya,” katanya.
Sementara itu, Dain memberitahu filem Harum Malam sudah ditayangkan di Disney+ Hotstar sejak Jumaat lalu.
“Mereka yang sebelum ini keliru dengan perjalanan cerita ini kerana terlalu banyak tapisan, bolehlah menontonnya Disney+ Hotstar kerana tiada potongan dibuat,” katanya.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut mengucapkan tahniah kepada Dain atas pengiktirafan yang diterima di Greece melalui perkongsian Instagram (IG).
Harum Malam berkisar pergelutan hidup remaja dan pelatih perubatan tradisional, Iqbal yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.
Keupayaan luar biasanya itu menyebabkan Iqbal sering diganggu makhluk halus serta berdepan ancaman alam ghaib. Iqbal juga sukar membezakan antara realiti dan ghaib.
Pada suatu hari, berlaku insiden menyebabkan rakan dan keluarganya terdedah dengan makhluk ghaib berbahaya.
Tanpa pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa itu untuk melawan makhluk terbabit.
Filem Harum Malam menampilkan lakonan hebat Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Turut membintangi filem terbabit adalah pendatang baharu Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.
Harum Malam yang menjengah pawagam Februari lalu diterbitkan Apparat dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd dan D’Ayu Pictures Sdn Bhd.
Sumber: BH Online