Perintah reman yang akan berakhir 11 Disember ini terhadap Syed Shah Iqmal atau Da’i Syed, 25, dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Siti Mazrah Mohamad.
Menurut peguam yang mewakili suspek, Syed Amirul Syed Edros, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi dakwaan rogol.
Terdahulu Syed tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan kenderaan polis kira-kira pukul 10.30 pagi.
Dia yang ditahan semula oleh pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada petang Ahad hadir dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan berseluar jingga.
Sementara itu menurut peguam, sehingga kini polis memaklumkan menerima lapan laporan jenayah seksual terhadap anak guamnya namun dua daripadanya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ini bermakna setakat ini polis sedang menyiasat enam kes jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.
Sehubungan itu Syed Amirul menggesa pihak polis untuk memandang serius mengenai perkara itu bagi mengelakkan salah tanggapan orang ramai terhadap anak guamnya yang sedang membantu siasatan.
“Saya berharap pihak polis bukan sahaja memberikan status NFA kepada dua laporan ini.
“Sekiranya terdapat unsur-unsur laporan palsu dalam laporan ini, ambil tindakan kepada pengadu kerana selain nak tegakkan hak mangsa sekiranya berlaku jenayah, kita juga ingin menegakkan hak Syed Shah Iqmal.
“Kita takut ada pihak yang sengaja membuat laporan untuk menambah teruk keadaan. Ini kerana orang awam akan sentiasa menerima bahawa… ada laporan polis, maknanya memang orang tu salah,” katanya.
Syed Amirul berharap polis memandang serius mengenai kemungkinan wujud laporan palsu terhadap anak guamnnya.
Beliau ditemui pemberita selepas proses permohonan reman selesai.
Sebelum ini Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat berhubung dua laporan membabitkan kes rogol dan cabul serta seks luar tabii.
Kes rogol dilaporkan oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga seorang guru sebuah sekolah di Lembah Klang.
Berdasarkan laporan, dalam kejadian 22 Oktober lalu itu, mangsa dipelawa keluar makan malam oleh suspek untuk menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Petaling Jaya, kira-kira pukul 9 malam sebelum diajak ke sebuah rumah di Damansara Perdana, Selangor dan dirogol.
Kes kedua berkaitan cabul dan seks luar tabii (seks oral) pula dilaporkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, wanita itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana, untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan.
Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral.
Untuk rekod Syed Shah Iqmal sudah ditahan reman selama 10 hari di IPD Shah Alam sejak 27 November lalu.
Sumber: mStar Online
Pendakwah selebriti direman lima hari
Pendakwah selebriti direman lima hari sehingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di daerah ini atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar, Siti Mazrah Mohamad di Bilik Reman Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, bermula hari ini sehingga 11 Disember ini.
Terdahulu, suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar jingga tiba di perkarangan pintu masuk Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, kira-kira jam 10.30 pagi dalam keadaan bergari bersama empat suspek kes lain.
Suspek kelihatan tenang dan sempat memberi salam serta menyapa petugas media yang menunggunya sejak jam 8 pagi.
“Terima kasih (petugas media) kerana datang. Doakan saya… Insya-Allah,” katanya.
Suspek yang diiringi dua anggota polis kemudian dibawa ke Bilik Reman yang terletak di tingkat satu kompleks mahkamah.
Sebaik proses permohonan reman selesai, suspek dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Peguam mewakili suspek, Syed Amirul Syed Edros yang ditemui media memaklumkan mahkamah membenarkan perintah reman selama lima hari terhadap anak guamnya bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol.
“Reman lima hari yang dibenarkan hari ini hanya untuk siasatan polis berhubung dakwaan merogol,” katanya.
Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).
Polis daerah Petaling Jaya membuat permohonan reman ke atas suspek, bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada 29 dan 30 November lalu.
Laporan polis pertama dibuat di IPD Petaling Jaya pada 29 November lalu, oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar kolej swasta atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan seks oral oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana di sini.
Laporan polis kedua dibuat pada 30 November lalu di Balai Polis Damansara oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun atas dakwaan dirogol oleh suspek juga di sebuah rumah di Damansara Perdana.
Setakat ini, polis sudah menerima lapan laporan polis terhadap suspek bagaimanapun dua daripada laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, semalam berkata, empat laporan diterima di Shah Alam, sementara dua lagi di Petaling Jaya, manakala dua yang diklasifikasikan sebagai NFA ialah masing-masing satu di Shah Alam dan Subang Jaya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti ditahan polis bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam pada 26 November lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Suspek kemudian direman lima hari bermula 27 November lalu bagi membantu siasatan sebelum tempoh reman dilanjutkan lima hari lagi sehingga semalam.
Sumber: Berita Harian