Da’i Hilman yang berusia 23 tahun dan berasal dari Melaka ini telah terkeluar pada episod pertama musim ini namun diberi peluang kedua apabila Da’i Ariffin mengundurkan diri bagi melanjutkan pelajaran. Minggu lalu hanya tinggal tiga peserta daripada kumpulan Ar-Rijaal iaitu Da’i Luqman, Da’i Hilman dan Da’i Fuad untuk menyampaikan tazkirah yang bertemakan “Khalifahku”. Durasi tazkirah untuk setiap peserta juga telah bertambah menjadi tujuh minit.
Da’i Hilman mendapat giliran pertama untuk menyampaikan tazkirah mengenai kisah Nabi Ibrahim A.S. Terlebih dahulu, Da’i Hilman meminta kesemua penonton di studio dan juga di rumah sama-sama membacakan surah Al-Fatihah buat mangsa-mangsa korban tragedi kren runtuh di tanah suci Mekah baru-baru ini.
Komen yang diberikan oleh Ustaz Sharhan Safie mengenai persembahan Da’i Hilman adalah beliau memberikan dalil dan contoh lengkap tetapi ada kekurangan dari segi penceritaan yang lebih mendalam mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang perlu mengorbankan anaknya Nabi Ismail A.S.
Tazkirah Da’i Hilman pasti menjadi penuh berinformasi jika beliau juga dapat menceritakan secara ringkas mengenai peristiwa “Safa dan Marwah”. Datuk Ustaz Kazim Elias selaku Mursyid turut mengharapkan Da’i Hilman untuk menyerlah tetapi persembahannya disifatkan biasa-biasa sahaja.
Da’i Luqman pula perlu menghuraikan kisah Nabi Musa A.S yang memiliki mukjizat tersendiri. Persembahan Da’i Luqman dilihat meningkat apabila juri tetap Ustaz Harryanto Rizal memuji persembahannya. Sebolehnya, Ustaz Harryanto mahu Da’i Luqman lebih fokus dengan satu kisah atau tajuk kecil mengenai Nabi Musa A.S yang pastinya dapat lebih menyentuh jiwa para penonton. Datuk Ustaz Kazim Elias juga turut memuji Da’i Luqman kerana ternyata dengan latihan dan bimbingan Da’i Luqman berjaya bangkit dengan satu persembahan yang sangat baik baginya. Kepelbagaian elemen yang digunakan Da’i Luqman dilihat membantu gaya persembahannya.
Da’i Fuad menjadi peserta terakhir untuk memberi tazkirah mengenai Nabi Sulaiman A.S pula. Juri jemputan iaitu Ustazah Asmak Hussin merasa teruja di awal persembahan Da’i Fuad apabila beliau memulakan tazkirahnya dengan sebuah nyanyian yang turut mendapat sambutan oleh penonton di studio.
Namun begitu, Ustazah Asmak memohon jika menggunakan rujukan perlu disertakan sekali dengan sumbernya. Beliau juga berpesan kepada para murabbi dan juga mursyid untuk mempersiapkan anak-anak didik mereka dengan satu personaliti dan karektor tersendiri yang punyai kekuatan tersendiri dan tidak menyamai mana-mana pendakwah yang sedia ada.
Untuk penentuan sekali lagi segmen imtihan diadakan bagi menguji pengetahuan para pendakwah muda ini. Da’i Luqman terselamat daripada segmen imtihan kerana telah mengumpul markah tertinggi iaitu 79.5% berbanding dua lagi rakannya iaitu Da’i Hilman dan Da’i Fuad. Hanya tiga soalan yang diajukan dan seperti biasa jawapan yang betul akan ditambah 5 markah manakala yang salah akan ditolak 5 markah.
Walaupun mempunyai kelebihan apabila mendapat 5 markah melalui segmen imtihan, markah yang terkumpul buat Da’i Hilman masih tidak dapat menyaingi Da’i Fuad yang mengumpul 61.6% markah sekaligus menamatkan perjalanan Da’i Hilman.
Hanya tinggal empat minggu lagi untuk ke pentas akhir Da’i Pendakwah Milenia musim ketiga. Bagaimana pula persembahan 3 lagi peserta wanita daripada kumpulan An-Nisaa’ minggu ini? Jangan lupa untuk terus memberi sokongan dengan menonton Da’i Pendakwah Milenia pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di TV3.
Jika anda terlepas untuk menonton persembahan mereka, jangan lupa untuk menonton siaran ulangan Da’i Pendakwah Milenia musim ketiga pada hari Jumaat pada jam 10 pagi di TV3, saluran 103 dan juga di www.tonton.com.my.