Tanggal 18 Oktober lalu, hampir 4 juta penonton menjadi saksi Da’i Hamidah dinobatkan menjadi juara Da’i Pendakwah Milenia musim ketiga. Hanya dengan menjadi dirinya sendiri, Da’i Hamidah kembali mencuri perhatian para juri di pentas akhir Da’i Ahad lalu.
Mengungguli dengan pungutan markah keseluruhan sebanyak 85.9%, Da’i Hamidah telah diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 tajaan TV3, saham PNB berjumlah RM5,000 pakej umrah tajaan Kembara Umrah Travel & Tours, Kembara Ilmu ke Istanbul & Ho Chi Minh, komputer peribadi tajaan Serai Mas dan juga pengalaman bekerja bersama Media Prima Berhad.
Da’i Hamidah juga bakal menjadi kolumnis selama 6 bulan dalam Majalah-i, mendapat langganan percuma selama setahun dan menerima sebuah Al-Quran Amazing sumbangan daripada Majalah-i. Da’i Hamidah turut membolot hadiah Da’i Pilihan D’Herbs yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Aliff Syukri, Pengarah Urusan D’Herbs Holding Sdn. Bhd selaku penaja utama bagi musim ini.
Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, “Jika dilihat daripada rancangan Da’i musim terdahulu dan kini, jumlah penonton semakin meningkat lebih-lebih lagi apabila disiarkan di waktu perdana iaitu pada jam 9 malam. Peningkatan jumlah tontonan ini menandakan program sebegini mendapat permintaan yang sangat tinggi daripada penonton. Oleh itu sebagai tanda penghargaan, kami menunaikan permintaan mereka dengan menerbitkan rancangan berbentuk dakwah dan pengisian rohani seperti Da’i.
Da’i memberi peluang buat anak-anak muda khususnya untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam bidang dakwah tanpa batasan. Ini terbukti apabila tidak kesemua peserta mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang agama tetapi mereka telah berjaya mara ke peringkat akhir dan menjadi ikon di luar sana. Kami juga berterima kasih kerana tanpa penaja utama, D’Herbs, program Da’i ini pastinya tidak dapat dijayakan dengan sempurna.”
Da’i musim ketiga mula bersiaran pada 16 ogos lalu. Musim ini mengetengahkan konsep baharu apabila lima peserta lelaki iaitu Da’i Fuad, Da’i Luqman, Da’i Hilman, Da’i Hijrah dan Da’i Ariffin dan lima peserta wanita iaitu Da’i Hamidah, Da’i Hidayu, Da’i Izzlyn, Da’i Syuhada dan Da’i Syailah bersaing di bawah pimpinan dua Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Elyas Ismail membimbing kumpulan lelaki (Ar-Rijaal) dan Dr. Rubiah K. Hamzah bagi kumpulan perempuan (An-Nisaa’).
Datuk Ustaz Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor). Beliau bukan sahaja memantau prestasi para peserta, beliau juga turut berkongsi ilmu yang dimiliki bagaimana mahu menjadi pendakwah yang disegani. Datuk Rosyam Nor masih menggalas tugas sebagai pengacara dan dibantu oleh pengacara tersohor Tn. Hj. Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama.
Ahad lalu, tiga peserta akhir iaitu Da’i Fuad, Da’i Hamidah dan Da’i Hidayu perlu menyempurnakan tugasan terakhir mereka di pentas Da’i ini dengan menghuraikan secara bijaksana takzirah yang bertemakan Amanah Da’i. Berikut adalah butiran lanjut mengenai topik yang dihuraikan oleh tiga peserta bagi pentas akhir:
No. | PESERTA | TAJUK |
1 | Da’i Hamidah
Nama Penuh: Hamidah Binti Ab Razak Umur: 23 tahun Asal: Kedah TASWIT: #daihamidah |
Aku Pendosa Juga Ingin Ke Syurga
Ulasan Juri: Da’i Hamidah memang layak untuk berada di pentas akhir. Beliau fokus dengan topik, berinteraksi dengan penonton dan menjadi dirinya sendiri yang membuatkan gaya penyampaiannya lebih sampai kepada penonton. |
2 | Da’i Fuad
Nama Penuh: Ahmad Fuad Bin Mohd Mokhtar Umur: 20 tahun Asal: Selangor TASWIT: #daifuad |
Benarkah Kita Cinta Rasulullah?
Ulasan juri: Da’i Fuad adalah pilihan untuk menjadi juara dengan peminat yang ramai menyokong perjuangannya. Namun penerangan dan penggunaan props pada pentas akhir ini dilihat kurang memberi impak kepada topik yang dipilih. |
3 | Da’i Hidayu
Nama Penuh: Nur Hidayu binti Mohd Kamil Umur: 23 tahun Asal: Selangor TASWIT: #daihidayu |
Tercabut Rasa Bertuhan
Ulasan Juri: persembahan bersemangat dengan pemulaan yang bijak dan berinformasi namun sedikti menurun di penghujungnya membuatkan Da’i Hidayu kelihatan sedikit hilang fokus pada topik. |
Ulasan Juri: persembahan bersemangat dengan pemulaan yang bijak dan berinformasi namun sedikti menurun di penghujungnya membuatkan Da’i Hidayu kelihatan sedikit hilang fokus pada topik.
Setelah tamat tazkirah, para peserta perlu melalui segmen Imtihan (ujian) yang menguji pengetahuan ilmu Islam mereka. Gagal menjawab soalan yang diajukan oleh juri tetap Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Syarhan Safie dan juri jemputan Dato’ Ustaz Badli Shah Alaudin dengan baik, Da’i Hidayu memperoleh markah terendah dan disingkirkan.
Untuk penentuan juara, dua peserta yang tinggal iaitu Da’i Fuad dan Da’i Hamidah perlu menjawab soalan huraian yang dipilih secara rawak dalam kalangan penonton yang hadir di Sri Pentas 2, Shah Alam. Ternyata walaupun diuji dengan soalan secara spontan, kelantangan dan ketepatan memberikan maklumat mengenai pembayaran zakat telah membuatkan Da’i Hamidah kelihatan lebih menonjol daripada Da’i Fuad seterusnya mendapat pujian hebat daripada para juri.
Untuk pentas akhir, juri professional menentukan 70% markah keseluruhan, 20% lagi disumbangkan oleh juri awam dan 10% lagi diperoleh melaui Taswit/juri sosial media di laman web www.tv3.com.my.
Antara selebriti yang duduk di kerusi juri awam di pentas akhir Da’i musim ketiga malam ini ialah Saiful Nizam, Norman Hakim, Syafiq Kyle, Da’i Adibah (Pemenang Da’i musim pertama), Da’i Farhan (Pemenang Da’i musim kedua), Aida Citra, Memey Suhaiza, Erra Fazira dan Datin Seri Umie Aida. Pentas akhir Da’i turut dimeriahkan dengan kemunculan Farid Sanullah iaitu penyanyi asal lagu tema Da’i musim ketiga bertajuk Lebaran Kejayaan.
Bagi anda yang ketinggalan untuk menonton persembahan akhir ini, jangan lupa untuk menonton siaran ulangannya pada hari Jumaat ini, jam 10 pagi di TV3.