Ziana, 55, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain berkata dia tidak mahu anak-anaknya derhaka meskipun dia sendiri sudah tidak berhubung lagi dengan Armin.
“Saya sudah tak ada apa-apa. Anak-anak sajalah. Mereka selalu jumpa dengan ayah mereka. Saya selalu ingatkan anak-anak kalau sudah telefon ayah. Setiap minggu kena tanya ayah, apa-apa sajalah. Dia masih bapa mereka.
“Kita dengan bapa kita pun, marah tak kita? Jangan, berdosa. Saya tak nak anak-anak saya derhaka pada ibu bapa. Kita ini contoh pada mereka. Jadi, kita jangan cakap perkara negatif pasal bapa dia, berdosa saya.
“Saya nak anak-anak saya esok jadi suami dan isteri yang baik. Kalau boleh mereka berkekalan sampai akhir hayat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Penyanyi lagu Putus Terpaksa itu pun berkata dia memang tiada isu jika menyentuh urusan berkenaan anak-anak dengan bapa mereka. Kalau terserempak sekali pun, dia baik-baik saja.
“Tak ada hal. Saya pula yang tanya mereka kalau tak jumpa bapa mereka berapa bulan. Saya tak nak renggangkan anak-anak. Jangan pisahkan kasih sayang, itu anak dia.
“Tak ada masalah, saya profesional. Saya okay kalau dia nak tanya pasal sekolah anak-anak. Ini hidup saya, itu hidup dia,” katanya.
Ziana juga mengakui sudah lama memaafkan Armin dan hatinya cukup lapang. Dia tidak nafikan kenangan lama pasti menerpa juga tapi enggan dibelenggu sebarang rasa dendam dalam diri.
“Dari dulu pun sudah maafkan kerana kalau tak beban itu kita bawa sampai akhirat. Saya tak mahu. Saya nak hati saya lapang, fikiran saya lapang, cukup.
“Bagi saya, kenangan masih tinggal kenangan. Kita tak boleh padam. Hidup saja dengannya tapi dalam cara yang positif.
“Hidup ini, kita tak boleh terperangkap dalam masa silam. Memang kenangan akan datang sekali-sekala, itu biasa. Tapi kena buat keputusan untuk terus maju ke depan,” katanya.
Terdahulu, pada Mei 2018, bekas suami Ziana, Armin Zaharin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.
Perkahwinan mereka selama 20 tahun secara rasminya berakhir apabila Armin melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.