Festival makanan pertama di Cyberjaya anjuran FriedChillies pada 20 Oktober 2019 bakal membawa pelbagai gerai ‘Pop Up’, peniaga karipap terbaik di Malaysia, sesi membuat kuih ‘Masterclass’ yang paling gempak dari lejen-lejen tempatan dan pelbagai aktiviti lain
FriedChillies, yang sebelum ini telah menganjurkan antara festival makanan terbaik di Malaysia seperti I Eat Nasi Lemak dan Ayam Lejen kini kembali dengan acara baru yang dijamin meletup iaitu Cyberjaya Makan Best Fest 2019 (CMBF2019). Pada 20 Oktober 2019, hanya untuk satu hari, gerai-gerai makanan pop-up terbaik, peniaga-peniaga Kuih Lejen dan hero-hero Karipap dari serata Kuala Lumpur dan juga yang dijemput dari luar Lembah Klang akan berada di Rekascape Cyberjaya. Masuk adalah PERCUMA dan acara tersebut akan berlangsung dari 10am hingga 8pm.
Di antara gerai makanan pop-up yang bakal menanti pengunjung adalah Pastribella yang dimiliki oleh juara rancangan Masterchef (Season 1) iaitu Dr. Ezani, pelbagai pizza yang unik dari myPizzaLab, Nasi Lemak Angah dari Jalan Ipoh yang sangat popular dan brisket daging yang menggegar jiwa dari Beard Brothers BBQ.
“Kami amat gembira kerana dapat sekali lagi menganjurkan pesta makanan buat peminat-peminat di luar sana dan sudah pasti CMBF2019 ini bakal menjanjikan keunikan sebagaimana acara-acara kami sebelum ini.
Umum sudahpun mengetahui bahawa apabila mereka mengunjungi acara anjuran FriedChillies, mereka akan dihidangkan dengan makanan yang bukan sahaja terbukti lazat dan berkualiti tinggi, tetapi juga majoritinya dimiliki oleh anak tempatan.
Kami menyediakan platform yang terbaik agar komuniti ini dapat berkomunikasi, meraikan dan menikmati makanan-makanan yang hebat dengan harga yang berpatutan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka,”
– Adly Rizal, CEO kepada FriedChillies
Peminat-peminat kuih karipap juga tentu tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi CMBF2019 kerana FriedChillies telah berjaya mengumpulkan antara pembuat dan peniaga karipap yang terbaik di Malaysia. Hero-hero karipap ini antaranya Karipap Mutiara dari Pulau Pinang yang begitu dikenali dengan Karipap Rusa mereka yang sangat lazat dan Karipap King Kong yang dikenali dengan karipap ayam dan daging mereka yang besar dan tidak lokek inti. FriedChillies juga telah menjemput Karipap Satay Ayam Mama dari Kajang yang memenuhkan pastri karipap mereka dengan daging satay yang menggiurkan.
Satu lagi komponen menarik CMBF2019 adalah Kuih Lejen yang bakal menampilkan pakar-pakar serta veteran di dalam industri pembuatan kuih di negara ini seperti Mak Jah dan La Cucur, serta Mok Teh yang dikenali dengan kuih-kuih dari Pantai Timur Malaysia dan Apom Johol dari Negeri Sembilan.
Selain itu, FriedChillies juga telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan kelas Masterclass pembuatan kuih secara percuma kepada pengunjung (termasuk untuk kanak-kanak) di mana pihak umum dapat belajar cara-cara yang betul untuk membuat kuih.Â
“Ini adalah lanjutan daripada projek warisan makanan dengan kolaborasi bersama Yayasan Hasanah.
Dinamakan Projek KWIH, kami telah mengumpulkan pelbagai resepi kuih dan petua dari seluruh Malaysia selama dua tahun.
Kami percaya dengan cara berkongsi pengetahuan ini, warisan pembuatan kuih terutamanya kuih-kuih yang jarang sekali kita dengar akan dapat diteruskan,”
“Kami juga akan melancarkan buku Projek KWIH di acara ini.
Ianya bukan sekadar buku resepi malah ia penuh dengan kisah masyarakat dan petua-petua memasak yang sangat berhargaâ€.
– Honey Ahmad, iaitu pengarah Projek KWIH
Selain itu, akan diadakan juga Bizniz Talk iaitu acara diskusi perniagaan yang akan dikendalikan oleh peniaga-peniaga makanan yang berjaya di Malaysia termasuk ceramah berkenaan penjenamaan oleh Rekanegara yang dikenali dengan hasil-hasil kerja mereka bersama Coca-cola dan Malaysia Airlines.
“Sebagai kolaborator dan tuan rumah, Cyberview amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama menganjurkan acara ini bersama FriedChillies.
Usaha mengumpulkan pengusaha-pengusaha makanan yang terbaik di negara ini dan peminat-peminat mereka di bawah bumbung RekaScape dalam acara yang begitu unik adalah sangat bertepatan dengan DNA kami yang sentiasa menyokong industri tempatan dan memperkasakan ekosistem perniagaan di Cyberjaya.
Adalah menjadi objektif kami dengan platform yang disediakan melalui CMBF2019 ini, selain menikmati pelbagai makanan yang lazat, pihak umum juga dapat belajar selok-belok memulakan perniagaan makanan yang efektif dan seterusnya menjadi ‘entrepreneur’ yang berjayaâ€.
– Iza Sofia Kasbi, Pengarah Komunikasi Strategik
“CMBF2019 menyediakan sesuatu untuk semua peringkat masyarakat. Jika anda adalah seorang ‘foodie’ atau peminat makanan tegar, maka ini adalah acara yang paling sempurna untuk anda.
Dan jika bukan, CMBF2019 adalah acara yang sesuai dikunjungi bersama keluarga dan rakan taulan bagi meluangkan masa di hari minggu dan melihat serta merasakan pengalaman baru.
Kami jamin anda akan terhibur dengan sajian aktiviti kami.”
– Adly Rizal
Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.friedchillies.com atau laman Facebook & Instagram dengan nama – Friedchillies.