in

Cut Tari & Luna Maya Jadi Suspek Kes Video Porno

JAKARTA: Sehari selepas memohon maaf kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan masyarakat Indonesia atas penyebaran laporan berita mengenai video pornografi yang membabitkan mereka, artis Cut Tari dan Luna Maya hari ini dijadikan suspek dalam kes itu oleh polis Indonesia.

Mereka disyaki terbabit dalam kes tersebut bersama seorang lagi suspek iaitu artis Ariel Peterpan.

“Setelah melakukan penyelidikan saksi ahli (pakar), maka sejak semalam penyiasat telah meningkatkan status Cut Tari dan Luna Maya menjadi suspek pelanggaran pornografi,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Edward Aritonang di sini hari ini.

Dengan status baru dua artis berkenaan, polis sehingga kini telah menetapkan12 orang sebagai suspek dalam kes itu.

Ariel, Cut Tari dan Luna Maya dikaitkan dengan undang-undang pornografi dan jenayah kerana disyaki menjadi pelaku manakala sembilan suspek lain pula disabit dengan undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik kerana menyebarkan bahan itu.

Dalam permohonan maafnya semalam, Cut Tari dengan linangan air mata sekaligus mengaku “berselingkuh” (mengadakan hubungan seks) dengan artis dalam video porno itu dan memohon maaf kepada suaminya yang turut hadir pada sidang media tersebut.

Namun Luna Maya dan Ariel masih belum membuat pengakuan mereka.

Suami Cut Tari, Jusuf Subrata memberitahu media bahawa beliau tetap menyokong isterinya dan menyangkal adanya isu perceraian antara mereka.

Berbeda dengan Ariel yang ditahan dilokap polis apabila ditetapkan sebagai suspek pada 22 Jun lalu, polis tidak menahan Cut Tari dan Luna Maya kerana mereka dipercayai tidak akan menyukarkan penyiasatan, menghilangkan barang bukti dan mengulangi perbuatan mereka.

“Dia tahu bahwa perbuatan itu (hubungan intim) suatu saat dapat beredar walaupun tak ada niat untuk itu. Penyiasat sangat yakin mereka terlibat, bukan hanya sekedar mirip,” kata Aritonang.

Mengenai tidak adanya pengakuan daripada artis terbabit, Aritonang berkata polis tidak memerlukannya kerana pembuktian undang-undang sudah mencukupi.

Presiden Susilo dalam komennya terhadap permohonan maaf artis terbabit semalam menyampaikan kenyataannya melalui jurucakapnya Julian Aldrin Pasha bahawa:”Komitmen Presiden untuk penegakan hukum jelas, bahawa siapa saja yang terbukti bersalah di muka undang-undang maka harus diproses undang- undang secara tegas dan proporsional. Sebaliknya bila tidak terbukti maka harus dipulihkan nama baik dan harga dirinya,” kata Julian.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) Aris Merdeka Sirait menyesali langkah kedua-dua artis wanita itu yang tidak meminta maaf pada kanak-kanak Indonesia.

Sebelum ini KPAI telah menyebut bahawa 33 kes perkosaan terhadap kanak-kanak telah berlaku setelah pelaku melihat video-video porno berkenaan yang diedarkan sejak sebulan lalu. – BERNAMA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Avatar Edisi Khas dalam 3D

Party With Dayang at Hard Rock Cafe