AJL 39: Kehebatan Yang Tak Berhenti Diperkatakan
Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) sudah lama berakhir, tapi perbincangan tentangnya masih belum reda. Lebih spesifik lagi, topik yang terus hangat adalah kehebatan Aina Abdul di pentas AJL. Peminat tegar Aina, pempengaruh media sosial, dan netizen pro-Aina masih gigih mempertahankan bahawa beliau layak menjadi juara.
Namun, dalam keghairahan menyanjung seorang artis, jangan kita lupa bahawa AJL bukan tentang seorang penyanyi semata-mata. Marsha Milan dan peserta lain juga wajar mendapat pengiktirafan. Mereka pun bertanding, mereka pun berusaha keras. Jadi, kenapa perlu terlalu taksub kepada seorang individu?
Hormati Keputusan Juri – Ini Bukan Pertandingan Populariti
Mari kita bersikap rasional dan matang. Keputusan juri adalah muktamad. Mereka ini bukan orang biasa, bukan ‘cap ayam’ yang dipetik dari tepi jalan. Mereka adalah pakar dalam industri muzik, ada pengalaman luas dalam menilai muzik dari pelbagai aspek.
Kalau keputusan juara, naib juara dan tempat ketiga hanya bergantung kepada undian penonton, lebih baik AJL dijadikan program realiti macam Akademi Fantasia atau Big Stage. Tapi ini AJL, anugerah yang menilai lagu, lirik, susunan muzik, dan penyampaian secara profesional. Markah penonton hanya diberikan untuk persembahan terbaik, dan itu pun Aina Abdul sudah menang. Apa lagi yang tidak puas hati?
Bukan Soal ‘High Pitch’, Tapi Keseluruhan Lagu
Ada satu perkara yang ramai peminat fanatik tak nak terima—AJL bukan pertandingan siapa boleh tarik suara paling tinggi. Ia bukan sekadar pentas vokal power dan persembahan dramatik.
Sejujurnya, lagu Aina Abdul “Puas Sudah” masih dalam gaya susunan dan ciptaan yang lebih kurang sama dengan lagu-lagu beliau sebelum ini. Bukan bermaksud lagu itu tidak bagus, tetapi tidak cukup untuk membawa kemenangan besar.
Juri melihat keseluruhan lagu—melodi, susunan muzik, kekuatan lirik, serta bagaimana lagu itu meninggalkan impak yang mendalam. Marsha dengan lagunya pada malam itu mempunyai keunikan tersendiri, lengkap dari semua aspek. Itu sebabnya beliau menang. Titik.
Belajar Daripada Yang Berpengalaman
Dalam dunia seni, ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Lihatlah Ikhwan Fatanna, komposer berbakat besar yang sudah lama mencuba sebelum akhirnya berjaya menembusi AJL39. Marsha juga tidak mendapat kejayaan ini secara mudah—hampir 20 tahun berusaha, mengharungi pelbagai kritikan, dan akhirnya membuktikan kemampuan dirinya.
Kepada peminat Aina Abdul, tidak perlu terlalu emosional. Bakat Aina sangat besar, dia masih muda dan banyak lagi peluang untuk menang AJL di masa depan. Mungkin dalam beberapa tahun akan datang, dia boleh menang berturut-turut. Atau mungkin lagunya akan menjadi soundtrack filem Hollywood, siapa tahu?
Apa Kata Budiey?
Cukuplah. AJL 39 sudah tamat, keputusan sudah dibuat, kita pun dah tahu siapa juara. Tak perlu bergaduh di media sosial hanya kerana artis kegemaran kita tidak menang. Industri muzik kita lebih besar daripada sekadar satu malam AJL.
Sebagai peminat muzik, kita sepatutnya sokong semua artis berbakat, bukannya mencetuskan perpecahan dan drama tak berkesudahan. Kalau kita mahu industri hiburan Malaysia terus maju, kita perlu belajar menghormati keputusan profesional dan meraikan kemenangan dengan semangat yang sihat.
Sudah-sudahlah. Move on. Ada banyak lagi perkara lain yang boleh kita raikan dan nantikan dalam dunia muzik.
Selamat berpuasa!