Dengan adanya banyak penerbangan tambang rendah masa kini, semakin ramai rakyat Malaysia yang berpusu-pusu hendak bercuti di luar negara. Dan kini, salah satu destinasi yang mula menjadi pilihan ramai orang adalah Jepun. Negara matahari terbit ini memang terkenal dengan bandar-bandar besarnya yang moden dan canggih. Namun sekarang, sebuah lagi kawasan di sana yang mula mendapat perhatian adalah pulau Hokkaido di utara Jepun. Ia sangat popular di musim sejuk untuk aktiviti berkaitan salji dan ibukotanya, Sapporo merupakan titik permulaan untuk kawasan tersebut. Kedudukan bandaraya Sapporo sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular di sana telah membawa kepada pembinaan ratusan hotel di negara tersebut. Banyak jenama-jenama hotel antarabangsa yang tumbuh bagaikan cendawan di situ. Terdapat juga hotel-hotel tempatan yang tidak kurang hebatnya. Namun, dalam kebanjiran hotel-hotel besar ini, muncul juga beberapa hotel butik tempatan yang menawarkan perkhidmatan setanding hotel-hotel antarabangsa. Hotel-hotel baru yang lebih kontemporari dan unik ini mula mendapat perhatian pelancong tempatan dan asing kerana ciri-ciri istimewa yang mereka miliki. Salah satu hotel yang dimaksudkan adalah Cross Hotel yang terletak di kawasan pusat bandar Sapporo. Hotel moden ini mempunyai banyak bilik mengikut saiz dan keperluan tamu sahaja namun terdapat tiga kategori bilik mengikut tema warna iaitu Urban, Natural dan juga Hip. Setiap bilik mempunyai senireka dalamannya tersendiri mengikut tema-tema yang ditentukan. Kesemua bilik dilengkapi TV dan semestinya sambungan wi-fi percuma. Ini diperhebatkan lagi dengan barangan bilik mandi yang mewah serta berkualiti tinggi bagi memanjakan setiap tamu yang menginap di sini. Ia juga mempunyai kolam renang dalaman di tingkat atas serta bilik mandi awam khas buat lelaki dan wanita yang sinonim dengan penduduk serta budaya Jepun. Yang menjadikannya lebih istimewa, hotel ini memperuntukkan dua tingkat hotelnya untuk penganjuran pameran seni khas yang diadakan setiap tahun. Ini menjadikan hotel ini secara tidak langsung, sebuah pusat seni moden dan kontemporari tersendiri. Sewaktu pameran seni ini, banyak pelukis tempatan serta antarabangsa yang datang untuk memperkenalkan serta menjual karya-karya mereka. Dari hasil seni halus sehinggalah garapan fotografi dan arca, semuanya ada dipamerkan di hotel ini sewaktu pameran seni tersebut. Malah cara, karya-karya ini dipamerkan sangat unik di mana pelbagai objek dan lukisan dihamparkan di atas katil, sofa, dan juga bilik mandi! Dari dinding bilik, katil, sehinggalah bilik mandi, semuanya benar-benar menjadi unik dan sangat chic kala pameran seni ini berlaku. Tidak dilupakan juga senireka dalaman hotel dan restoran Hache mereka juga tidak kurang menarik. Sesuai dengan nama hotelnya, setiap bilik dan penjuru hotel akan mempunyai gambar palang dari pelbagai sudut berbeza. Malah di setiap tingkat, ada lukisan palang berbeza sebaik sahaja tamu keluar daripada lif. Ini merupakan unsur-unsur seni moden yang diterapkan ke dalam senireka dalaman hotel ini. Ia juga sangat praktikal kerana lokasinya sangat strategik. Ia hanya lima minit perjalanan dari stesen kereta api Sapporo dan juga 35 minit dari lapangan terbang utama mereka. Dan banyak tempat makan serta kedai-kedai berhampiran untuk memudahkan tamu mencari keperluan tertentu. Kesimpulannya, Cross Hotel memang sebuah hotel praktikal buat pelancong alaf baru masakini yang mahukan kelainan dalam penginapan kala bercuti. Tetap moden, tetap gah namun suasananya berbeza dan lain daripada yang lain. Andai berpeluang ke Sapporo, bermalamlah di Cross Hotel untuk mengalami keunikannya! Cross Hotel Sapporo : Moden dan bergaya oleh Shah Shamshiri