Perdana Menteri berkata, keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal. Trend ini dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.
“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.
“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,”
“(Jadi) Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.
“Pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka sehingga sekarang.
“Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak mengurusnya,”
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin berkata, tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa. Perdana Menteri berkata, sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.
“Yang penting, saya mohon supaya saudara saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.
“Saya juga mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
“Paling penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi, termasuk bekalan makanan, elektrik serta air.
“Perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi serta logistik, keselamatan dan ketenteraman awam juga termasuk dalam aspek ini,”
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Mengulas mengenai status PKP setakat ini, Perdana Menteri berkata, masuk hari kelapan perintah itu berkuat kuasa tahap pematuhan mencapai 95 peratus.
Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat beli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.
Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.
Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut memaklumkan akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh.
“Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus-lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua.
“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. Insya-ALLAH, no one will be left behind (tidak akan ada yang tertinggal).
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Beliau turut berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf yang sedang menghadapi keadaan hidup lebih sukar pada masa ini.
“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.
“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.
Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.
“Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,”
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin berkata, belau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
“Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik.
“Insya-ALLAH, dengan izin ALLAH SWT kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,”
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Beliau turut mendoakan petugas-petugas barisan hadapan terus cekal melaksanakan tugas.
“Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah. Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Sementara itu, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.
“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,”
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin berkata, penularan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan. Daripada kes pertama jangkitan COVID-19 dikesan, hingga jam 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.
Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.
Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.