Penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang itu berkata, dia mengalami demam, sakit kepala, tekak dan badan. Menyedari simptom dialami mempunyai persamaan dengan virus COVID-19 yang kian berleluasa, ibu kepada empat cahaya mata itu ke sebuah hospital kerajaan bagi melakukan pemeriksaan. Ia juga atas saranan seorang teman baik yang juga doktor pakar.
“Awalnya, saya menyangka mungkin sakit tekak biasa memandangkan cuaca panas, sejak akhir ini. Atau kemungkinan saya masih sedih atas pemergian anak perempuan, Wanku Intan Syafarana Rosman pada 21 Februari lalu.
“Bagaimanapun, simptom ini menjadi semakin teruk apabila saya sukar bernafas. Saya perlu ke hospital segera selepas memikirkan suami menjalani pemindahan buah pinggang dan anak pula menderma hati buat arwah kakaknya.
“Saya tidak mahu ahli keluarga yang belum sihat dijangkiti, sekiranya saya positif COVID-19,”
– Dayangku Intan
Penyanyi kelahiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu berkata, dia bertemu orang ramai sejak berdepan kematian anak.
“Saya berjumpa ahli keluarga, sanak saudara dan teman yang mengucapkan takziah selepas pemergian arwah anak. Saya tak tahu adakah ada antara mereka positif COVID-19,”
– Dayangku Intan
Bagaimanapun, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mendakwa, atas beberapa faktor termasuk layanan kurang memuaskan hospital berkenaan, dia akhirnya mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.
Katanya, dia bersyukur keadaan kesihatan beransur pulih, selepas seminggu mengasingkan diri dalam rumah dan makan ubat mengikut jadual.
“Saya berharap masyarakat tidak memandangkan ringan virus bahaya ini kerana boleh berjangkit dengan mudah.
“Saya bersyukur kawasan yang didiami tidak begitu ramai. Saya kini sangat menitikberatkan soal kebersihan seperti sentiasa berkumur dan membasuh tangan. Saya lakukan semua ini kerana sayang suami dan anak.
“Jadi, nasihat saya tolong patuhi arahan kerajaan dan jangan ambil mudah kerana virus ini boleh membunuh sekelip mata,”
– Dayangku Intan
Sumber: BH Online