Pelbagai usaha telah dilakukan di peringkat antarabangsa dan Malaysia sendiri, termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat-kuasa hari ini. Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggunakan kaedah bersahaja dalam mendidik masyarakat dengan mengubah suai lirik lagu dendangannya, 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta. Beliau berbuat demikian dengan menukar bait lirik lagu untuk disesuaikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang mahu memastikan rakyat Malaysia duduk di rumah, jika tiada keperluan untuk keluar.
“Nasihat jangan tak dihirau, duduk rumah janganlah merayau, corona virus haruslah di risau, duduk rumah janganlah melilau,”
– Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Bahkan pemilik empayar perniagaan SimplySiti itu turut berpesan terus berada di rumah demi keselamatan diri dan orang sekeliling.
“Anda boleh berada di rumah. Anda boleh bekerja dari rumah. Anda boleh meluangkan masa dengan orang tersayang di rumah.
“Segala-galanya bermula di rumah. Dan kita harus menjaga rumah kita.
“Jadi, jangan lupa seluruh rakyat Malaysia berdisiplin tau. Janganlah keluar rumah. Janganlah melilau,”
– Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Menerusi minit awal IGTV, Siti berharap peminat dan masyarakat terus duduk di rumah demi keselamatan diri dan orang lain.
“Assalamualaikum, saya seperti anda juga berada di rumah bagi pengawalan pergerakan.
“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia mampu melakukan. Buatlah apa yang terbaik dan apa yang diminta kerajaan kita demi mengelak orang tersayang dan diri anda daripada terjebak dengan virus COVID-19 ini.
“Saya percaya anda semua boleh lakukan,”
– Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Terdahulu Siti turut memuat naik foto memegang sekeping kertas berserta mesej di laman Twitter dengan kapsyen, “Pengawalan Pergerakan. Duduk Di Rumah. Stay At Home. Tolong jangan sebarkan lagi virus ini. #dudukrumah #stayathome,” tulisnya.
Pelantun lagu Anta Permana itu menggunakan tajuk single terbaharu beliau ‘7 Nasihat’ – sebagai memberikan panduan kepada pengikut di laman sosialnya.
Berlatarkan gambar beliau dan rapper Kmy Kmo dan Luca Sikt, ‘7 Nasihat’ tersebut termasuk menyarankan orang ramai supaya berada di rumah dan menjauhkan diri daripada berinteraksi secara sosial.
Selain itu, ia turut menasihati agar orang ramai tidak membuat pembelian panik, selain melakukan aktiviti sihat seperti bersenam.
Kemaskini tersebut setakat ini mendapat lebih 15,000 ‘likes’,
Single 7 Nasihat adalah terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia, dan boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula Februari lalu.
Semoga ‘7 Nasihat’ yang diberikan penyanyi kesayangan ramai ini dapat membantu orang ramai untuk terus kekal berada di rumah dalam memastikan usaha mengekang pandemik COVID-19 dapat dilakukan dengan berkesan!
Sumber: Awani & BH Online