Sejak hujung Mac, hampir kesemua 282 pesawat kumpulan penerbangan ini telah diletakkan dalam mod hibernasi di lapangan terbang di sekitar Asia. Namun apa yang berlaku kepada pesawat dalam tempoh ini?
“Pesawat kami mungkin dalam hibernasi, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi menyelenggara mesin berteknologi tinggi ini. Jurutera kami harus memastikan semua pesawat disimpan dalam keadaan baik apabila kami bersiap sedia untuk terbang nanti,” kata Banyat Hansakul, Ketua Bahagian Kejuruteraan Kumpulan AirAsia.
AirAsia telah melaksanakan Prosedur Parkir Jangka Panjang, sebahagian daripada Manual Penyelenggaraan Pesawat Udara (AMM) yang ditetapkan oleh pengeluar pesawat Airbus. Manual yang digariskan dengan prosedur dan tindakan penyelenggaraan berkala yang ketat itu bertujuan menjaga keselamatan dan kelayakan terbang pesawat dalam jangka masa parkir yang berpanjangan.
Senggaraan Pesawat Kami Di Lapangan Terbang
Bukan mudah untuk mengawasi penyenggaraan pesawat untuk kumpulan syarikat penerbangan ketika waktu yang sukar ini. “Persoalan pertama yang bermain di fikiran kami adalah, di mana kami boleh menyimpan kesemua 282 pesawat ini? Hab serantau terbesar kami adalah Kuala Lumpur dan Bangkok, namun bahkan klia2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang tidak mempunyai ruang parkir pesawat yang mencukupi untuk kesemua pesawat kami.
“Di Kuala Lumpur, kami boleh meletakkan beberapa pesawat kami di terminal kargo selain daripada pangkalan operasi kami di terminal klia2; sementara di Bangkok, tidak ada ruang yang mencukupi walaupun selepas meletakkan beberapa pesawat kami di jalan rayap yang dijadikan ruang parkir pesawat sementara oleh pihak berkuasa lapangan terbang. Setelah pertimbangan dibuat, kami memutuskan untuk memindahkan beberapa pesawat ke hab berhampiran seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan Lapangan Terbang Antarabangsa Utapao Rayong-Pattaya.
“Kami juga harus mengenal pasti jangka masa parkir untuk setiap pesawat kerana tindakan penyenggaraan berbeza untuk pesawat yang diparkir selama kurang dari satu bulan, antara 1 hingga 6 bulan, atau antara 6 bulan hingga satu tahun.
“Sebilangan besar pesawat kami termasuk dalam kategori pertama dan kedua, dan kami perlu memastikan beberapa pesawat tetap aktif di setiap hab bagi tujuan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) atau operasi kargo dan sewaan,” kata Banyat.
Mengelakkan dari ancaman luar
Selepas mengenal pasti lokasi dan jangka masa parkir setiap pesawat, langkah paling penting adalah kerja-kerja menutup bahagian pesawat yang terdedah kepada persekitaran.
Sebarang bahagian pesawat yang terdedah hendaklah dilindungi menggunakan penutup yang diluluskan oleh pengeluar untuk melindunginya daripada unsur-unsur seperti debu, serangga, burung atau objek asing lain yang mungkin merosakkan sistem pesawat. Ini termasuk enjin, saluran masuk dan keluar Unit Kuasa Auxiliary (APU), prob data udara (contohnya prob pitot, port statik atau tiub seperti antena yang anda lihat di badan pesawat), dan bergantung pada tempoh simpanan, bahkan gear pendaratan juga akan dibalut untuk mengelakkan hakisan.
Jurutera kami menjalankan pemeriksaan pesawat setiap hari untuk memastikan tiada masalah teknikal seperti kebocoran minyak enjin atau cecair hidraulik dari pesawat sambil memastikan semua penutup pada bahagian yang terdedah sentiasa kekal utuh.
Selain pemeriksaan harian, pembilasan berkala dan pembersihan prob data udara dan bahagian lain pesawat juga diperlukan untuk memastikan tidak ada pengumpulan sisa berikutan pesawat kekal statik di darat.
“Pemeriksaan harian amat penting kerana kita tidak dapat menjangka apa cabaran yang dibawa oleh alam semulajadi selain perubahan cuaca. Sebagai contoh, tidak lama selepas penggantungan sementara operasi kami diumumkan pada Mac, pasukan jurutera saya menjumpai sarang burung di bawah salah satu sayap pesawat Airbus A330 kami yang diparkir di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.
“Burung, lebah atau serangga lain yang bersarang di pesawat terbiar adalah masalah yang diketahui oleh semua syarikat penerbangan di seluruh dunia, jadi ini bukan kejadian yang luar biasa. Kami segera menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan untuk membantu kami mengusir ‘tetamu yang tersembunyi’ dari pesawat dengan selamat, tidak ada haiwan yang cedera dalam proses itu, “kata Banyat.
Bersiap sedia untuk anda
Bagi memastikan tiada kesan rata akibat tekanan yang berpanjangan pada tayar pesawat, pesawat juga akan ditarik ke depan dan ke belakang atau ditinggikan untuk memutar roda dari semasa ke semasa untuk melepaskan tekanan.
Para jurutera juga akan menghidupkan enjin pesawat dan APU secara berkala mengikut jadual yang digariskan dalam AMM untuk terus mengekalkan kesihatan mesin.
Sebagai persiapan untuk jangka waktu hibernasi yang lebih lama, beberapa pengaturan pesawat juga harus dikonfigurasi, seperti memutuskan sambungan bateri, mengaktifkan mod “ditching” untuk menutup injap udara dan saluran masuk udara lain (agar tiada udara masuk ke kabin pesawat), serta melepaskan prob data udara dan sistem pemanasan tingkap untuk mengelakkan kecairan penutup prob data udara.
Kami juga dapat melakukan proses pembersihan dan penyenggaraan yang lebih teliti di dalam kabin dengan hibernasi pesawat kami. Semua panel yang boleh ditanggalkan di kabin akan dibuka dan dibersihkan dengan sempurna, ini termasuk panel dinding kabin, galley (‘pantri’ di mana kru kabin menyediakan makanan), tandas, dan juga panel overhead kokpit. Permaidani dan langsir akan dicuci, dan semua permukaan di kabin seperti tempat letak tangan dan meja akan dibersihkan dengan pembasmi kuman bermutu tinggi.Pembasmi kuman akan digunakan pada semua permukaan dalam kabin pesawat.
“Penyenggaraan bilangan pesawat yang besar bukanlah tugas yang mudah, malah meletakkan pesawat ini dalam mod hibernasi memerlukan kerja sepanjang waktu dan koordinasi yang amat teliti dalam kalangan pasukan jurutera dan kakitangan lapangan terbang.
“Kami tidak akan berhenti bekerja keras. Apabila pandemik wabak ini tamat, kami akan bersiap sedia untuk membawa tetamu kami sekali lagi, dan adalah penting untuk kami memastikan pesawat ini selamat dan dijaga dengan rapi buat para tetamu kami pada masa ini,” kata Banyat.