Penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac menjelaskan tujuan melakukan ujian saringan bagi mengesan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan insan di sekeliling. Hans, 48, memberitahu, selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru, dua minggu lalu, dia terpanggil menjalani pemeriksaan demi pengesahan.
“Saya jalani ujian bukanlah saja-saja seperti disangka ramai. Dua minggu lalu, saya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan kerana masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
“Saya dirawat selama lima hari. Walaupun di hospital, tapi kita tak boleh jamin penularan wabak ini tidak boleh berlaku.
“Sebagai langkah keselamatan diri dan mereka yang ada di sekeliling, saya jalani ujian saringan menggunakan khidmat pihak swasta yang bukan sahaja pakar malah bertauliah. Mereka boleh datang ke rumah,”
– Datuk Hans Isaac
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG) semalam, Hans menunjukkan proses bagaimana dia menjalani pemeriksaan saringan COVID-19.
Perkongsian itu bagaimanapun ditegur netizen yang mendakwa ujian hanya boleh dilakukan di hospital dan untuk mereka yang menunjukkan simptom COVID-19 sahaja.
Ditanya pengalaman menjalani ujian saringan, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga ini berkata, debaran menjalani ujian tidak sama seperti menunggu keputusan.
“Proses pemeriksaan masih okay lagi tetapi nak tunggu hasil ujian, itu yang mencemaskan saya.
“Keputusan ujian hanya akan dikeluarkan selepas 48 jam. Sekarang saya masih lagi menunggu… Memang berdebar,”
– Datuk Hans Isaac
Dalam perkembangan berkaitan, Hans yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menegur individu yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Saya minta sangat tolonglah patuh arahan. Kalau tiada keperluan, tak perlu keluar rumah. Jangan disebabkan kedegilan kita, orang lain menjadi mangsa,”
– Datuk Hans Isaac
Sumber: BH Online