Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, berkata, walaupun sedih, namun dia percaya apa yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.
“Sepatutnya ada beberapa program yang bakal saya kendalikan di Indonesia. Kalau sebelum ini saya mengacarakan program untuk siaran stesen televisyen Indosiar seperti AKSI Asia, D’ Academy Asia, AKSI Indonesia, Golden Memories Asia dan banyak lagi.
Namun sejak pandemik Covid-19 menular, saya sedih kerana harus menolak banyak tawaran.
Lagipun kita semua masih belum boleh ke luar negara. Kecewa juga bila wabak ini berpanjangan tetapi saya tetap bersyukur dan yakin semua perkara yang terjadi pasti ada hikmahnya,”
– Uyaina Arshad
Menurut Uyaina, jika sebelum ini dia tiada masa bersama keluarga namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, dia dapat menghabiskan masa bersama ibu dan adik-beradik.
“Jika sebelum ini saya sibuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, kini saya boleh menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga.
Alhamdulillah saya juga bersyukur walaupun terlepas beberapa peluang di Indonesia tapi saya dihujani tawaran lakonan di Malaysia,”
– Uyaina Arshad
*Sumber: Harian Metro