Di dalam kawasan terselindung di Timur Laut Mauritius, tersembunyi sebuah tempat yang sesuai buat menenangkan fikiran. Terletak di kawasan tepi pantai di daerah Flacq sekitar 35 km dari ibunegara Mauritius, Constance Le Prince Maurice tersenarai sebagai salah satu penginapan yang paling popular dan eksklusif di kawasan ini. Dengan kedudukannya di bahagian yang terasing dari kesibukan dan hingar-bingar kota, ia menepati ajnas citarasa para pengunjung.
Penginapan Mewah & Megah di Constance Le Prince Maurice, di Mauritius
[dropcap]C[/dropcap]onstance Le Prince Maurice mempunyai hanya 64 suite junior,12 suite keluarga, 12 buah villa peribadi indah dan juga Princely villa yang mewah. Resort ini merupakan antara penginapan paling eksklusif dan mewah di Mauritius (apatah lagi di kawasan Flacq). Dilengkapi dengan layanan bertaraf antarabangsa dan peribadi untuk setiap suite dan villa, ia memenuhi kehendak setiap pengunjungnya yang ingin berehat di kawasan yang terpencil sambil menikmati kemewahan hidup yang lain.
Suite serta villa-villanya yang berkonsep modern dengan sedikit sentuhan klasik memang setanding dengan penginapan bertema villa di negara lain. Malah kesemua suite mempunyai keluasan yang besar dan dilengkapi dengan perabot berkualiti tinggi serta perlatan moden yang lain. Ini termasuklah televisyen berlayar leper yang besar dan mampu digunakan sebagai komputer peribadi! Ya, bayangkan komputer peribadi yang mempunyai layar sebesar TV! Setiap suite juga mempunyai beranda untuk menikmati pemandangan alam semula jadi yang indah.
[pullquote align=”right”]Dengan kawasan yang diasingkan dan agak ‘tersembunyi’ dari dunia luar yang lebih bising serta sibuk dengan hingar-bingar kota, Constance Le Prince Maurice juga sesuai buat mereka yang ingin meraikan acara-acara peribadi bersama keluarga atau rakan-rakan. Ini termasuklah pasangan yang ingin berbulan madu.[/pullquote]
Mempertaruhkan beberapa buah restoran yang hebat untuk menjamu selera para tamu, Restoran Archipel mereka merupakan restoran utama yang menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa untuk tamu menikmati pemandangan pantai dan matahari terbenam, Namun yang sering mendapat perhatian dan menjadi buruan ramai pelancong Mauritius adalah restoran Barachois, sebuah restoran terapung mereka yang terletak di atas kawasan perairan penampungan ikan khas! Restoran ini hanya buka untuk makan malam dan menyajikan hidangan makanan laut yang benar-benar hebat. Lebih menarik lagi, di dalam perairan di bawah restoran ini tinggal seekor jerung kecil yang bernama Johnny yang kadangkala dapat anda lihat berenang-berenang sewaktu tamu menjamu selera!
Suasana Barachois memang indah di kala malam dengan sinaran lampu yang dinyalakan serta seni reka lanskap dek-dek atau pelantar kayu terapung yang menjadi landasan utama restoran romantis ini. Apatah lagi dengan pemandangan indah di tepi lautan yang lebih peribadi dan tersendiri khas buat tamu hotel, ia merupakan destinasi paling tepat buat mereka yang berkeluarga ataupun yang ingin berdua.
Bagi tujuan bersantai pula sambil menikmati minuman, Constance Le Prince Maurice mempunyai beberapa bar dan lounge iaitu The Laguna Bar, The Lotus Lounge Bar, dan juga Wine Cellar.
Pihak hotel juga boleh menguruskan sesi rawatan spa khas untuk para tamu yang ingin dimanjakan di U Spa by Constance, spa mereka yang lengkap dengan bilik stim, sauna serta kolam renang kecil untuk kegunaan tamu.
Untuk mereka yang ingin beriadah, tersedia juga sebuah gimnasium yang lengkap, sebuah lapangan tenis, basikal dua buah kolam renang dan macam-macam lagi. Para tamu boleh juga mencuba aktiviti sukan laut percuma seperti ski air, berkayak, layar angin dan banyak lagi!
Jadi jika anda ingin pergi merehatkan minda serta bercuti dan mahu pergi jauh sedikit dari kawasan Asia Tenggara, singgahlah ke Mauritius dan bermalamlah di Constance Le Prince Maurice.
Penerbangan tujuh jam anda dari KL akan berbaloi kala tiba di situ. Anda tidak perlu bersusah-payah meredahi kesesakan lalu-lintas yang menggusarkan kerana anda akan dijemput dan dihantar pulang dan dilayan seperti raja!
Penginapan Mewah Dan Megah Di Constance Le Prince Maurice, Di Mauritius
oleh Shah Shamshiri