KONSERT MY STARZ LG MINGGU KE-6
PENYINGKIRAN GZELL MEMBUKA RUANG KEPADA 8 PESERTA UNTUK TERUS MARA…
Setelah 6 minggu berhempas-pulas meneruskan perjuangan demi mengukir nama di persada seni, malam Ahad lalu menyaksikan gadis manis kelahiran Sabah, Julylen Liew Ei Ling atau lebih mesra dikenali sebagai Gzell tersingkir mengikuti jejak Elaine dan AG (Kumpulan A) dan Jessica (Kumpulan B) yang telahpun meninggalkan pentas My Starz LG.
Selepas persembahan lagu “Darah Muda” pada konsert Mingguan pada 14 Disember yang bertemakan “Lagenda”, Gzell mendapat kritikan pedas daripada pihak juri yang sebulat suara mengatakan yang beliau tidak berjaya membawakan lagu dengan baik kerana kurang penghayatan dan tiada aura menggoda mahupun manja yang sinonim dengan Seniwati Saloma setiap kali beliau mendendangkan lagu ini. Walaupun terkejut namun Gzell akur dengan keputusan yang tidak berpihak dengannya dan yakin ini bukan merupakan titik noktah bagi perjalanan seninya yang baru bermula.
Selesai penyingkiran, persembahan mingguan yang bertema ’Rock’ (Rock, Slow Rock & Pop Rock) dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada Nashrin yang membawakan lagu popular Kumpulan Estranged, “Itu Kamu”. Sedikit kelainan bermula minggu ini, persembahan mereka tidak lagi dibahagikan di dalam kumpulan dan para peserta mula bergabung.
Cassie mengambil tempat seterusnya mendendangkan lagu ”Karma” diikuti dengan Hairi yang berjaya menggegarkan pentas membawakan lagu Wings, ”Hukum Karma” sebelum persembahan bersahaja Mimie menyanyikan lagu Ella, ”Sepi Sekuntum Mawar Merah”.
Konsert diteruskan dengan nyanyian Wana ”Bilang Saja” diikuti dengan Feroq yang mendapat pujian juri kerana berjaya menepati tema Rock Malam ini membawakan lagu ”Still Got the Blues” sebelum Fiona dan Azri menutup tirai membawakan lagu ”Akan Ku Tunggu” dan ”Farhana”.
Persembahan mereka diadili oleh pengkritik yang sudah arif dengan dunia hiburan iaitu juri tetap My Starz LG, Liza Hanim, komposer terkenal Edrie Hashim yang menggantikan Hattan pada minggu ini dan disertai juri undangan, penyanyi rock yang tidak asing lagi, Nash. Konsert mingguan malam ini dihangatkan lagi dengan persembahan istimewa Fiq menyanyikan lagu Irama Marakas.
“Seperti minggu-minggu yang lalu seorang peserta akan dipilih oleh para juri sebagai ‘My Starz’ berdasarkan persembahan terbaik keseluruhan yang disampaikan oleh mereka pada malam itu. Setakat ini, Nashrin, Wana dan Mimie berjaya memenangi hadiah istimewa yang ditawarkan saban minggu. Malam ini, buat kedua kalinya, Nashrin merupakan peserta bertuah yang berjaya menambat hati juri akan membawa pulang hadiah berupa Penyedut Hampagas ‘LG Kompressor’. Istimewanya Ally Iskandar turut bersama-sama mengacarakan konsert pada hari ini untuk mempromosikan program bual-bicara terbarunya, ALLY yang akan disiarkan pada 31 Disember 2008 nanti ,” ujar penerbit My Starz LG, Tengku Sahilawati Tengku Jehori.
Selain mengundi peserta kegemaran mereka, para penonton juga boleh menyertai kuiz SMS My Starz LG untuk memenangi hadiah peti sejuk LG. Mereka hanya perlu menaip LG dan hantarkan kepada 37898 seterusnya mengikut arahan yang diberikan. Undian untuk peserta My Starz LG ini dibuka dari jam 10.00 malam 28 Disember 2008 sehingga jam 6.00 petang pada 4 Januari 2009.
Format penyingkiran My Starz LG ialah 12 peserta akan dibahagikan kepada 2 kumpulan: A dan B. Kumpulan A akan membuat persembahan pada minggu ini dan penyingkiran salah seorang dari Kumpulan A hanya akan dilakukan pada minggu berikutnya ketika minggu kumpulan B mengambil tempat membuat persembahan.
Seterusnya penyingkiran untuk kumpulan B akan dilakukan ketika minggu Kumpulan A membuat persembahan. Para peserta akan bergabung dalam konsert seterusnya apabila tinggal 4 orang peserta dari setiap Kumpulan A & B. Format penyingkirannya ini berterusan sehingga 4 orang finalis dipilih. Bermula konsert yang ke 6, mereka kembali bergabung dan bertanding tanpa mengikut kumpulan.
Manakala dari segi fornat pemarkahan pula, penyingkiran terhasil daripada keputusan juri (70% markah) manakala 30% selebihnya diputuskan oleh penonton melalui SMS. Selain dari juri tetap, juri jemputan bakal muncul sepanjang musim ini untuk menawarkan khidmat nasihat mereka.
Pengacara Nazruddin Habibur Rahman (Naz) kembali memeriahkan rancangan ini dengan pasangan baru, Puteri Andreanna Syigim (Anne), manakala Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) bakal mengacarakan segmen My Starz LG Star Lives, yang merupakan sedutan siaran selama setengah jam tentang pencapaian pelajar sepanjang minggu tersebut, setiap Ahad pada pukul 5.30 petang.
Penasihat vokal terdiri daripada penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh dan Syaiful Baharim yang berperanan sebagai konsultan imej peserta. Pemenang pertandingan My Starz LG berpeluang memenangi wang tunai RM 100,000, produk LG yang menarik, menjadi bintang dan kontrak rakaman bersama label rekod ternama, Warner Music Malaysia.
Kesemua 12 peserta ini menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional serta sokongan latihan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada penghibur dan penerbit ternama Malaysia, yang berlangsung di LG House, sebuah bunglo yang diadaptasi khas yang tersedia dengan bilik latihan dan ruang persembahan yang dilengkapi sepenuhnya dengan produk LG.
Pastikan penonton di rumah tidak ketinggalan untuk menonton Konsert My Starz LG dan peluang menangi Peti Sejuk LG dengan menyertai kuiz SMS My Starz LG dengan menaip LG dan hantarkan ke 37898 dan ikut arahan yang diberikan. Maklumat lanjut berkenaan My Starz LG boleh didapati dengan melayari www.tv3.com.my/mystarzlg2