Selepas lebih sebulan dilahirkan, akhirnya pelawak terkenal Shuib mendedahkan wajah anak bongsunya bersama Allahyarham Siti Sarah, Ayash Affan kepada umum secara rasmi dalam Instagram hari ini.
Kelihatan sihat walafiat dan tembam, Shuib merakam video pendek gelagat Ayash yang sedang tidur di katil bayi untuk tatapan peminat.
Pendedahan tersebut dilakukan dengan memuat naik sebuah video dalam akaun Instagram Shuib dengan memaparkan bayi berusia sebulan lebih itu sedang nyenyak tidur di dalam sebuah katil yang siap dilengkapi dengan kelambu.
Manakala di akhir video tersebut, Shuib turut meletakkan foto dirinya bersama isteri, Allahyarhamah Siti Sarah sebagai penutup video.
Dalam pada itu, video yang dimuat naik kurang sejam itu telah ditonton lebih 100,000 ribu orang dan meraih 2,000 komen.
Rata-rata netizen menitipkan doa buat Ayash agar membesar menjadi anak yang soleh pada satu hari nanti.
Ternyata, video tersebut turut mengundang perasaan sebak kerana ia sememangnya dinanti oleh peminat. Ada yang menitiskan air mata kerana teringat pada Siti Sarah setiap kali menatap wajah Ayash.
Rata-rata pengikut media sosial dan rakan artis mendoakan agar Ayash membesar dengan baik dan menjadi anak soleh buat kedua ibu-bapanya.
Tarikh 30 September sepatutnya menjadi tarikh lahir Ayash namun segala perancangan berubah selepas Siti Sarah dijangkiti Covid-19.
Untuk rekod, Ayash dilahirkan pramatang secara pembedahan pada 6 Ogos lalu dan dibenarkan dibawa pulang ke rumah pada 14 September lalu.
Tiga hari kemudian, Siti Sarah disahkan meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.