Menyedari hakikat itu, syarikat rakaman COF Music juga tidak mahu ketinggalan dengan melahirkan penyanyi baharu yang bersandarkan pada bakat dan kualiti.
Pertandingan berkonsepkan program realiti, COF LOCKSTAR adalah platform yang bakal memberi peluang kepada golongan remaja yang berbakat dalam bidang nyanyian untuk menonjolkan bakat dimiliki.
Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF LOCKSTAR juga bermatlamat untuk peluang kepada mereka yang benar-benar berbakat untuk dipertaruhkan dalam pasaran muzik semasa.
Malah, lebih menarik program itu membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 sehingga 30 tahun termasuk mereka yang sudah bergelar penyanyi.
“COF LOCKSTAR ini adalah platform untuk mencari bakat baharu dalam kalangan penyanyi secara solo, rapper atau berkumpulan sama ada duo atau grup. Artis sedia ada pun boleh masuk pertandingan ini tapi yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.
“Program ini juga satu lagi inisiatif COF Music dengan mengadakan aktiviti sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Sekali gus menerusi program ini mereka yang bakal terbabit boleh menjana pendapatan berdasarkan hadiah wang tunai disediakan bagi setiap pemenang.
“Dalam masa sama, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dijanjikan kontrak menjadi artis syarikat rakaman COF Music,”
– Aman Nassim
Hadiah pemenang adalah tempat pertama bernilai RM50,000 yang mana merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.
Tempat kedua, membawa pulang RM5,555 beserta trofi dan pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi. Sementara itu turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.
Istimewanya, COF LOCKSTAR turut menampilkan empat penyanyi terkenal tanah air selaku juri profesional iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah dan Tomok. Sementara, Ajak selaku hos program.
Mengulas mengenai pemilihan empat juri itu, Aman ada alasan tersendiri kenapa memilih semua penyanyi lelaki.
“Bagi menghangatkan lagi program ini, kami memilih Ajak selaku hos dan empat penyanyi terkenal menjadi juri profesional. Lagi pula Hazama, Akim, Black dan Tomok pernah menjadi juri untuk program realiti. Kebetulan kita memang mencari bakat baharu, jadi pemilihan mereka ini sangat sesuai.
“Pada saya tidak ada istilah kenapa semua juri lelaki dan tak ada perempuan, yang penting mereka profesional. Mereka juga bepengalaman, semuanya pun hebat. Itu yang pada saya sesuatu yang menarik. Masing-masing ada cita rasa tersendiri. Kalau nak tahu apa pilihan mereka kena tengok di saluran YouTube COF Music nanti,”
– Aman Nassim
Menurut Aman, menerusi pertandingan itu COF Music tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mencari penyanyi dari mana-mana genre lagu.
“COF Music tidak ada sasaran nak penyanyi genre apa, sebab apa yang penting nak berkualiti dan bagus. Pada saya matlamat COF nak cari penghibur terbaik. Industri kita pun kurang penyanyi sebegini. Jadi saya rasa inilah masanya untuk cungkil bakat baru. Kita bentuk dan latih mereka menjadi lebih baik.
“Saya harap semua pelapis baru yang menyertai pertandingan ini kita dapat cari dan keluarkan bakat baru yang berkualiti dan bagus. Sekali gus untuk diketengahkan dalam industri muzik kita,”
– Aman Nassim
Penjurian bermula dengan mencari 10 video nyanyian terbaik sebelum bermulanya episod pertama yang bakal ditayangkan di saluran YouTube COF Music pada 7 Ogos depan.
Program ini bakal berlangsung selama empat episod di mana pada setiap episod bakal diadakan penyingkiran dan pemenang bakal diumumkan pada episod akhir.
Anda yang ingin menyertai pertandingan COF LOCKSTAR ini mudah sahaja. Caranya, peserta perlu ke Instagram COF MUSIC, di bahagian bio perlu mengisikan borang penyertaan yang disediakan.
Kemudian, muat naik video nyanyian berdurasi seminit dengan meletakkan tanda pagar #COFLOCKSTAR dan #COFMUSIC . Perlu dipastikan juga akaun Instagram peserta tidak diletakkan pada mode ‘private’ bagi memudahkan penganjur mencari dan menilai video.
Kesemua video yang dihantar akan ditayangkan di semua platform media sosial COF Music sebelum 10 yang terbaik dipilih.