Kemunculan pelakon dan penyanyi baharu iaitu Aisya Hasnaa membintangi drama bersiri terbaharu bertajuk “Awek Merah Jambu” bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 18 Jun ini, setiap hari, pukul 12.00 tengahari menerusi TVi.
Bergandingan dengan pelakon Syazwan Zulkifli dan Elfaeza Ulhaq, drama bersiri 30 episod ini mengetengahkan konflik cinta tiga segi antara mereka selain plot kisah kekeluargaan cuba ditonjolkan.
Cinta Tiga Segi Aisya Hasnaa, Syazwan Zulkifli dan Elfaeza Ulhaq Dalam Drama Bersiri “Awek Merah Jambu” di TVi
Ia mengangkat kisah berlaku pada watak utama Nisa Nazurah dan keluarganya baru berpindah ke sebuah taman perumahan kos sederhana yang berdekatan dengan taman perumahan kos murah. Memandangkan Nisa gemar dengan fesyen warna merah jambu dan ketika ke sekolah, beg, bekas pensil, jam tangan dan bekas air turut berwarna merah jambu, Nisa mudah menjadi perhatian pelajar lain terutama pelajar lelaki dan menggelarkan dia Awek Merah Jambu.
Qayyum, seorang atlet sekolah yang menjadi kegilaan pelajar perempuan turut teruja untuk mengenali Nisa. Walaupun Qayyum tinggal dalam satu taman dengan Nisa, kesibukkannya dengan aktiviti sukan menyebabkan dia jarang dapat bersemuka dengan Nisa. Malah di sekolah pun, dia jarang berjumpa dengan Nisa, namun Nisa tetap menjadi buah mulut dia dan rakan karibnya, Irfan.
Malangnya kehadiran Nisa serta minat Qayyum bercakap tentang Nisa menimbulkan rasa cemburu Hanna yang dalam diam menyintai Qayyum. Justeru, Hanna melakukan pelbagai cara untuk menarik perhatian Qayyum namun Qayyum tetap tertarik dengan Nisa dan ini menimbulkan rasa cemburu Hanna.
Manakala Nurin yang agak gempal, hidup dalam rendah diri kerana kegempalannya serta Najwa yang berasal dari keluarga kurang berada, berasa tersisih di sekolah kerana kemiskinannya, sehinggakan mereka mereka langsung tidak mendapat perhatian remaja lelaki mahupun perempuan.
Memandangkan Nisa yang hanya beberapa bulan sudah menjadi bualan, mereka berdua berhasrat untuk berkawan dengan Nisa hanya semata-mata untuk menarik perhatian kawan-kawan yang lain. Mereka mula meniru fesyen merah jambu yang diminati Nisa.
Keperibadian Nisa yang begitu anggun, ceria, baik dan berbudi bahasa, bukan saja menjadikan dia popular tetapi secara tidak langsung akhirnya berjaya mengubah pemikiran Hanna, Nurin, Seri dan Najwa. Hanna mula sedar, walaupun dia dikategorikan sebagai pelajar yang cantik, namun sikap egonya menyebabkan kawan-kawan tidak gemar bergaul dengannya.
Manakala Nurin pula, turut sedar bukan susuk tubuh dan paras rupa yang menjadi ukuran tetapi keperibadian yang mulia menjadi perhatian kawan-kawan. Najwa turut insaf, dia tidak perlu malu dengan kemiskinan keluarga tetapi sepatutnya menjadikan kemiskinan itu sebagai pendorong untuk dia belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.
Namun bagaimana pula dengan Qayyum dan Irfan yang terkenal dengan sikap playboy mereka? Masihkan ada ruang mereka berubah? Ikuti kesudahannya hanya di TVi.