Sungguhpun begitu, arwah sempat menghasilkan salah satu lagu terakhirnya berjudul Jelaskan yang tetap dilancarkan pihak pengurusan.
Sememangnya cukup terkenal dengan kelunakan suaranya yang unik, dimensi lagu baharunya ini ada keistimewaan tersendiri. Sentiasa tampil dengan lagu yang lebih riang seiring karakternya, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Allahyarhamah Sandra Dianne sendiri bersama Apex CZ itu jelas sarat dengan emosi. Justeru itu, kami selaku pihak pengurusan Allahyarhamah Sandra Dianne ingin berkongsi hasil karya penuh makna buat arwah ini kepada semua peminatnya di luar sana.
Mana tidaknya, ia menyentuh mengenai pergolakan dalam hubungan cinta yang sememangnya cuba dielakkan semua pasangan kekasih. Siapa sangka dalam pada mengecap bahagia, kesudahan yang diharapkan tidak selalu indah. Sesiapa juga yang ada pengalaman digantung tidak bertali pasti dapat memahami lagu ini. Itulah yang cuba arwah Sandra olah dalam penceritaannya menerusi lagu terbarunya ‘Jelaskan’.
“Lagu ini menceritakan sebuah percintaan yang tergantung di tengah jalan. Sang kekasih memutuskan untuk meninggalkan pasangan tanpa ada perbincangan dan memaksa pasangannya menerima keputusan bulat-bulat.
Kerana mengejar orang lain yang disukai, dia sanggup tinggalkan kekasihnya yang setia mengharungi susah senang bersama-sama. Lebih pedih, dia berlalu pergi tanpa alasan yang munasabah.
“Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini adalah sesuatu perhubungan sepatutnya perlu dihormati kedua belah pihak.
Apa saja masalah dihadapi perlukan perbincangan yang kukuh dan tidak sepatutnya ditinggalkan tanpa alasan munasabah.
Jangan ambil keputusan dan memaksa pasangan terima tanpa cuba perbaiki atau berbincang,”
– Pengurusan Sandra
Bercerita lanjut, arwah Sandra mengatakan dia sudah menulis lagu ‘Jelaskan’ sejak tahun lalu lagi. Bagaimanapun, proses rakamannya hanya dapat dimulakan dan disempurnakan pada sekitar bulan Mei lalu.
Paling menarik, dia menyerap inspirasi daripada penyanyi antarabangsa iaitu Billie Eilish bagi mendapatkan emosi yang bersadur elemen depresi sebagaimana dalam lagu-lagu Eilish.
Arwah mengakui, dia turut berdepan dengan cabaran tersendiri untuk menyempurnakan lagu itu memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang meruncing sebelum ini.
Apalagi, dia menghabiskan masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampung halamannya di Sabah. Disebabkan hanya dapat melakukan secara virtual, banyak proses lain terpaksa ditangguh.
“Prosesnya agak lama juga kerana lagu dirakam ketika PKP. Untuk susunan muzik dirakam di Kuala Lumpur (KL) manakala vokal di Sabah. Berikutan kualiti rakaman tidak memuaskan, produksi terpaksa menunggu saya untuk balik ke Kuala Lumpur bagi merakam trek vokal semula. Bahagian itulah paling mencabar kerana dilakukan berulang kali untuk mendapatkan emosi yang paling sempurna,” katanya.
– Pengurusan Sandra
‘Jelaskan’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.