ANTARA CINTA DAN KERJAYA
Umum sudah tahu, Diana Rafar bercinta dengan pelakon kacak, Zamarul Hisyam sejak lebih lima tahun. Bagi penulis, ianya bukan satu tempoh yang sangat singkat. Sudah tentu, sepanjang tempoh itu, kisah percintaan mereka penuh liku serta onak dan durinya. Badai ombak yang datang ditempuhi dengan tabah dan tenang oleh Diana.
Untuk mengekalkan hubungannya dengan Zamarul bukan sesenang yang dilihat. Malah dugaan yang datang dijadikan satu pengajaran dan kekuatan untuk terus mencipta satu ikatan. Diana mengakui ramai yang mendesaknya supaya mengakhiri zaman bujangnya dan menghentikan segala spekulasi dan gossip yang datang.
Bukankah setiap hubungan suci itu akan lebih indah sekiranya dimeterai dengan ikatan yang sah bernama perkahwinan?
Namun, pelakon berusia 26 tahun ini punya pendirian tersendiri dan bagi Zamarul pula, segalanya terserah pada Tuhan kerana manusia hanya berusaha dan yang menentukannya hanyalah Tuhan Yang Maha Esa. Kedua-duanya bersependapat bahawa perkahwinan bukan perkara yang mudah untuk dimeterai. Tidak perlu tergesa-gesa dan segalanya memerlukan satu perancangan yang rapi.
Apa rahsia Diana dapat mengekalkan hubungan selama 5 tahun lebih? Tunjang utama hubungan gadis bernama Adiana Abdul Rafar ini adalah kepercayaan antara satu sama lain.
Selain kejujuran, sifat saling percaya mempercayai dan tolak ansur juga sangat penting dalam setiap hubungan. Diana juga memegang prinsip bahawa untuk mengecapi bahagia, hidup ini perlu diberkati dan dirahmati.
Diana mengakui bahawa mereka berdua jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan karier. Namun, kalau ada peluang dan kelapangan masa, mereka akan bertemu untuk bertanya khabar tentang diri masing-masing.
Biasanya mereka akan bertemu untuk keluar makan bersama. Selain itu, Zamarul juga selalu lepak di spa yang diusahakan oleh Diana iaitu di D’ Laguna. Baginya bukan satu masalah besar kalau jarang berjumpa kerana masing-masing tahu apa yang dibuat. Tidak dinafikan, masing-masing sibuk dengan kerjaya.
Walau banyak menerima desakan, namun Diana berpendirian bahawa hubungan percintaan mereka bukan untuk orang lain. Bukan untuk memuaskan hati semua pihak dan tidak mahu terpengaruh dengan kata-kata orang. Untuk apa nak fikir tentang perasaan orang lain sedangkan mereka berdua punya masa hadapan tersendiri.
Perkahwinan adalah hak mutlak peribadi. Begitu juga Diana Rafar, perkahwinan adalah sesuatu perkara yang berbentuk personal. Jadi, Diana sangat berharap agar semua pihak memahami situasi dirinya.
Sepanjang dunia percintaan, Diana Rafar mengakui masih lagi mendengar macam-macam gossip dicetuskan terhadap dirinya. Antaranya, dikatakan Zamarul Hisham curang dan mempunyai ‘kekasih gelap’.
Namun semua itu dianggap satu gossip murahan semata-mata. Diana percayakan Zamarul dan kalau ada yang terlihat Zamarul keluar dengan perempuan mungkin atas urusan kerja.
Sudah banyak kali Diana mendengar cerita dari orang yang mengatakan Zamarul keluar dengan perempuan lain tapi bagi Diana itu adalah perkara yang remeh temeh.
Selagi mana Diana tidak nampak dengan mata sendiri, selagi itu dia tidak akan mempercayai dan tidak mengendahkan kata orang. Malah, pelakon drama Ezora ini tidak berkecil hati dengan gosip-gosip itu. Kalau boleh Diana tidak mahu tahu apa-apa tentang gosip seperti itu.
SPA D LAGUNA BUAH HATI KEDUA?
Di samping sibuk berlakon, Diana menghabiskan masa dengan menguruskan spanya di Shah Alam. Menurut Diana, dia sudah lebih 6 bulan telah menjalankan spa yang diberi nama D Laguna dan sangat berpuas hati dengan sambutan orang ramai.
Jauh di sudut hatinya berharap supaya spa yang memberikan pelbagai perkhidmatan itu akan mendapat sokongan daripada peminat dan masyarakat. Selain menjual pelbagai produk kecantikan seperti Jamu Dara Semula dan produk kecantikan Cenderawasih, D Laguna juga adalah tempat untuk bersantai dan menenangkan diri selepas tertekan dengan kerja seharian.
Terdapat dua produk kecantikan Cenderawasih iaitu Jamu Dara Semula dan Sabun Aromaterapi. Yang menariknya, dekorasi dalaman spa tersebut direka dan diilhamkan oleh Zamarul sendiri.
Sebenarnya, Diana sudah lama berminat dengan dunia kecantikan sejak keluarganya mengusahakan spa Cempa Roll Cut di Pandan Jaya lebih 10 tahun lalu. Kini, Diana rasa bertuah kerana dapat menjadi pengusaha spa yang terletak di no. 58, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Bercakap mengenai rahsia dan tips kecantikan, Diana Rafar ada mengatakan bahawa dia selalu melakukan rawatan lulur, makan jamu yang diproses oleh ibunya, berendam dengan air hangat dan mengambil vitamin untuk kecantikan kulit.
Dek terlalu minat dan mahu menghasilkan yang terbaik, Diana sanggup berehat dari berlakon selama sembilan bulan semata-mata mahu memberi tumpuan pada perniagaan ini.
Diana juga sanggup mengumpul duit sebagai modal sedikit demi sedikit dari hasil lakonannya. Pada mulanya Diana sangat bimbang juga sama ada akan berjaya atau tak perniagaan ini. Namun, Diana mengambil cabaran untuk mengusahakannya juga.
Filem SUSUK YANG DINANTI
Diana Rafar kini sedang popular dengan drama 60 episod bersiri Ezora yang diarahkan oleh Ahmad Idham. Kepada peminat, bolehlah menonton drama yang turut dilakonkan oleh Dynaz, Fazura dan Fezrul Khan ini ditayangkan di setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang di TV3.
Setakat ini, Diana belum menerima sebarang anugerah dan sedang menunggu sebuah filem lakonannya iaitu filem Susuk yang akan ditayangkan pada bulan Oktober tahun ini. Selain gembira bekerja bersama dengan pelakon Ida Nerina, Adlin Aman Ramli, Diana begitu meminati watak Suraya yang begitu unik sebab ada kaitan dengan susuk.