Cinta Hani Dan Remy Diuji Dengan Kehadiran Orang Ketiga Dalam “Cinta Nasi Ambeng 2†di TV1
Saksikan kesinambungan kisah Hani dalam “Cinta Nasi Ambeng 2†bersiaran mulai 24 April ini menerusi slot Bidadari, pukul 3.05 petang di TV1. Kisah menarik 13 episod ini menampilkan lakonan hebat Erwin Dawson dan barisan pelakon terdahulu seperti Christina Suzanne, Alif Hadi, Haeryanto Hassan dan Liza Abdullah.
Kali ini kisah dimulakan dengan kemasukan sorang pelajar baru kacukan Melayu Jawa-Perancis ke sekolah Hani. Hani dan Farah mula memasuki hari pertama persekolahan tingkatan enam. Hani mengejek Adam kerana pada pandangannya Adam seorang yang sombong. Adam mengingatkan Hani kepada Remy, bekas kekasihnya yang berhijrah ke Paris untuk menyambung pelajarannya.
Selepas habis sekolah, Hani sering membantu ibunya, Cik Bedah di gerai menjual Nasi Ambeng. Pak Tam merupakan pelanggan tetap Nasi Ambeng dan sentiasa mahu mengurat Cik Bedah. Hani mencabut kabel plag motosikal Adam kerana menyangka Adam yang membuang sampah ke dalam beg sekolahnya tetapi ia sebenarnya angkara Farah. Hani dan Farah kesian melihat Nek Minah berjalan kaki ke kedai kerana tidak sanggup menunggu cucunya, Adam yang lambat pulang akibat motor rosak. Lalu mereka sepakat memohon maaf pada Nek Minah dan Adam terdengar pengakuan mereka.
Nek Minah menceritakan kepada Adam tentang Remy dan Hani. Kini Adam sudah tahu bahawa Hani mempunyai hubungan dengan Remy. Nek Minah membeli Nasi Ambeng Cik Bedah untuk Adam merasainya buat pertama kali dan ternyata Adam sukakannya. Hani membantu Cik Bedah membuka akaun Facebook dan Pak Haris yang merupakan musuh lamanya mula ‘berchatting’ dengan Cik Bedah.
Guru kelas memberi tugasan kumpulan di dalam kelas. Hani dan Adam berada dalam satu kumpulan. Hani yang tidak suka kepada Adam tidak memberi kerjasama. Dia mengadu kepada Farah tentang sikap Remy yang tidak membalas setiap pesanan yang dihantar kepadanya. Remy sebenarnya sentiasa mengikuti perkembangan Hani melalui sepupunya, Faiz. Pak Haris tiba-tiba muncul di gerai Cik Bedah dan meluahkan perasaannya terhadap Cik Bedah.
Sementara itu Julia hairan melihat tingkah laku suaminya Faiz yang sering bercakap telefon dengan seseorang secara rahsia. Dia menyangka Faiz ada hubungan sulit di belakangnya sehinggakan Faiz terpaksa menceritakan perkara yang sebenarnya bagi mengelak Julia tersalah sangka.Sebenarnya Remy yang selalu menelefon Faiz untuk bertanyakan tentang Hani. Remy juga bertemu dengan Amelia, seorang kenalan baru di Paris.
Adam membuat tugasan kumpulan sendirian tanpa bantuan Hani dan ditegur oleh cikgu. Namun dia menafikannya. Hani kemudiannya cuba untuk mengucapkan terima kasih pada Adam namun Adam tidak melayannya kerana perlu cepat pulang. Ini membuatkan Hani semakin benci kepada Adam.
Faiz mengajak Johan menemani beliau pulang ke kampung menziarahi Nek Minah. Nek Minah meminta Adam membelikan Nasi Ambeng Cik Bedah untuk dihidangkan pada semua cucunya. Hani bergegas ke rumah Nek Minah untuk bertemu dengan Julia namun kecewa apabila Julia tiada. Dia bertanyakan khabar Remy pada Faiz.
Faiz dan Johan hendak ke pantai mencari mentarang dan Adam ingin turut serta. Apabila sampai di pantai, Adam terkenangkan kisah zaman kanak-kanaknya ketika bersama Hani. Secara kebetulan Adam dan Hani yang masing-masing pergi memancing terjumpa di tempat memancing yang sama. Hani terkilan kerana Adam masih lagi sombong dan tidak melayannya.
Pada masa yang sama Pak Haris membantu membaiki kereta Cik Bedah yang rosak. Keesokannya Pak Haris memberikan tudung sebagai hadiah kepada Cik Bedah. Cik Bedah terharu dengan pertolongan Pak Haris. Cik Bedah terkejut apabila Pak Tam menyatakan hasrat untuk memperisterikannya. Pak Haris yang juga kawan kepada Pak Tam tiba-tiba muncul dan menyatakan cintanya pada Cik Bedah. Pak Tam kecewa apabila mendengar pengakuan Pak Haris dan terus berlalu pergi. Pak Tam dan Pak Haris perlu bersaing untuk memenangi hati Cik Bedah. Cik Bedah akhirnya memilih Pak Haris.
Julia dan Farah pula cuba bertanyakan lebih lanjut tentang Amelia pada Faiz. Mereka marah dengan sikap Remy yang kononnya mahu menguji Hani tetapi mempunyai kekasih lain. Faiz akhirnya menjelaskan bahawa Amelia sebenarnya merupakan adik kepada Adam yang juga merupakan sepupu mereka.
Remy sengaja menelefon Hani dan memperkenalkan Amelia sebagai kekasihnya. Dia berbuat begitu sebagai kejutan untuk bergurau dengan Hani. Hani terus kecewa dan sedih sejak peristiwa tersebut dan beranggapan Remy telah memungkiri janji mereka. Adam mencari Hani untuk melakukan tugasan kumpulan dan resah apabila melihat Hani tidak fokus dan murung. Hani mengaku yang tertekan apabila mengetahui Remy mempunyai kekasih lain. Setelah dinasihati Adam, Hani bertekad untuk melupakan masalah yang dihadapinya dan mempunyai rancangan untuk membalas dendam.
Apakah yang dirancang oleh Hani untuk membalas dendam terhadap perbuatan Remy? Adakah Hani akan bersama Adam dan melupakan Remy? Saksikan kesudahan kisah mereka hanya di saluran TV1.
Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.