Bagaikan skrip drama pertemuan ketika mereka sama-sama berlakon drama bersiri “Seuntai Tasbih” yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia pada Mei tahun lalu memberi kesan buat dua pelakon Linda dan Beego yang baru disatukan sebagai pasangan suami isteri baru-baru ini.
Justeru kepada peminat setia mereka usah ketinggalan berkongsi momen-momen indah lakonan bersama mereka yang mempertemukan ‘cinta lokasi’ pasangan dua sejoli ini dalam drama bersiri mengisi slot Galeri Famili yang bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 13 Jun ini, setiap Khamis, jam 2.30 petang menerusi saluran TV2. Selain Beego dan Linda Hashim, 13 episod drama ini turut dibintangi oleh Rosnah Johari, Ilya Senario dan Heela Monica.
[pullquote align=”right”]Drama Bersiri “Seuntai Tasbih” Pertemukan ‘Cinta Lokasi’ Beego dan Linda Hashim setiap Khamis, jam 2.30 petang di TV2[/pullquote]
Ia mengisahkan tentang kehidupan seorang remaja wanita bernama Shila yang tinggal bersama ibunya yang telah lumpuh, Mariam dan ayah tirinya bernama Jaafar. Begitupun sejak kematian ayah kandungnya, Shila telah berubah sikap menjadi nakal dan gemar berpeleseran.
Kemunculan Ustaz Akhil di bandar itu dan mengajar kelas agama telah mempertemukan Akhil dengan Jaafar. Jaafar kemudiannya meminta Akhil membantunya menjaga kebun. Jaafar menganggap Akhil tak ubah seperti anaknya sendiri.
Shila pula bercinta dengan Jeman seorang pelajar Indonesia yang sedang menjalankan kajian di Malaysia. Setelah Jeman pulang ke Indonesia, Shila melarikan diri dari Malaysia mahu mengikut kekasihnya itu pulang ke negara asalnya.
Akhil diterima menyambung pelajarannya di sebuah universiti di Indonesia. Dia berkawan rapat dengan seorang kenalan kuliahnya bernama Mazlina yang sama-sama menuntut di sana. Dalam diam Mazlina menaruh harapan cinta pada Akhil namun Akhil masih baru mengenalinya.
Akhil juga bekerja secara sambilan di sebuah majalah dan berkenalan pula dengan gadis bernama Fatiha, anak kepada pemilik sebuah syarikat penerbitan majalah. Hubungan mereka kemudiannya menjadi semakin akrab.
Satu hari, Akhil telah bertemu dengan Shila. Shila menceritakan kesusahannya kepada pemuda itu. Di sana Shila hidup berpeleseran dan mahu kembali ke kampung. Akhil nekad mahu membimbing Shila kembali ke jalan yang benar.
Namun setibanya di kampung, Shila terpaksa menerima kenyataan ibunya telah meninggal dunia. Shila benar-benar terkilan dan amat sedih menerima kenyataan itu. Justeru dia memutuskan untuk memenuhi wasiat terakhir arwah ibunya yang mengharapkan Shila bersuamikan Akhil.
Begitupun sebenarnya masihkan ada ruang buat Shila merebut cinta Akhil yang turut sama dicintai oleh Mazlina dan Fatiha? Saksikan kesudahan 13 episod drama menarik ini hanya di TV2.