Siapa sangka, program realiti nyanyian Gegar Vaganza 7, yang berlangsung pada penghujung tahun lalu telah membuka ruang untuk dua penyanyi menjalin cinta dan menamatkan zaman solo masing-masing. Bad Indigo atau nama sebenarnya Badru Izhan Yeop Abdullah memaklumkan bahawa dia telah jatuh hati pandang pertama ketika bertemu dengan Ashira pada GV7 tahun lalu.
Ashira kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan Bad Indigo, 46, dalam majlis ijabkabul yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 2.45 petang Khamis.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Ashira iaitu Syed Abdul Aziz Syed Alwi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kira-kira pukul 2.45 petang.
Dalam majlis tersebut, Ashira atau nama sebenar Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz menerima mas kahwin sebentuk cincin, namun jumlah wang hantaran tidak dimaklumkan.
Majlis akad nikah pasangan ini berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.
Dalam pada itu, Bad atau nama sebenar Badrul Izhan Yeop Abdullah, 46, meluahkan rasa syukur kerana upacara pernikahan berjalan lancar dan dipermudahkan. Lebih bermakna apabila majlis mereka itu mendapat kerjasama dan bantuan daripada produksi GV7.
“Alhamdulillah semuanya dah selamat, berjalan lancar… majlis hanya dihadiri oleh keluarga dan banyak diaturkan oleh team GV7. Syukur anak-anak kami terbuka dan menerima antara satu sama lain. Anak-anak pun dah panggil Ashira mak,” katanya.
Awal Januari lalu, Bad mengakui terbuka hati untuk berkahwin dengan Ashira selepas kedua-duanya terlibat dalam GV7 selepas lebih 10 tahun menduda.
Kata Bad, dia jatuh hati ketika pertama kali bertentang mata dengan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ombak Resah’ itu sekitar Oktober tahun lalu.
Untuk makluman, Bad bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan, 12, dan Rania, 11. Manakala Ashira pula berstatus ibu tunggal pada 2015 dan memiliki seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 15.