Syurga Ramadhan menemukan keduanya. Bermula hanya menjadi pasangan suami isteri, hubungan Zarina Zainordin dan Ungku Ismail Aziz mula berputik diluar lokasi. Enggan mengulas lanjut kisah perhubungan mereka, Zarina mengakui masih terlalu baru untuk mendedahkannya.
“Memang saya mengaku rapat dengan Ungku Ismail kami bertemu buat kali pertama menerusi Syurga Ramadhan. Namun hanya rapat sejak tiga bulan lepas. Mungkin juga boleh katakan cinta lokasi, namun bagi saya jika sudah jodoh kami nak buat macam mana.
“Walaupun dia lebih muda setahun dari saya, namun sikapnya yang matang dan soft spoken amat menyenangkan perhubungan kami. Semuanya masih di peringkat awal lagi, saya tak berani nak komen lebih lanjut. Tapi kami sudah berjumpa keluarga kedua belah pihak dan mereka merestui hubungan kami.
“Tak dinafikan wanita selalunya mahukan pasangan yang lebih tua, tapi kalau dah jodoh tak boleh nak kata apa. Umur hanyalah nombor.
“Saya pun sudah 26 tahun, kalau boleh hubungan yang dibina ini saya mahu bawa ke jinjang pelamin,” ujarnya yang digandingkan bersama kekasihnya dalam drama terbaru berjudul Saka Jentayu.
Kedua-duanya tidak mengelak atau menafikan hubungan mereka. Bagi Ungku Ismail sendiri, tiada apa yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan ramai. Berharap agar hubungan ini kekal sehingga ke alam perkahwinan, pelajar lepasan Mechanical Engineering dari Scotland ini lebih selesa sekiranya hubungan ini tidak mendapat publisiti meluas.
“Cukuplah kami amalkan simple relationship. Saya mengaku tertarik dengan Zarina sebab dia sempoi dan pandai membawa diri.
“Tak dinafikan kadang kala timbul masalah bila berlakon bersama sebab terbawa-bawa sehingga ke luar set. Namun masing-masing kena profesional bezakan tugas dan hubungan.
“Sebelum kahwin saya harap dapat stabilkan dulu karier sama ada dalam bidang kerjaya atau lakonan,” katanya yang tidak mempunyai masalah menjalin hubungan dengan wanita lebih berusia.