Lebih Kreativiti Dalam Musim Kelapan Chiki Boom! Mulai 17 September Ini di TV2
Program kanak-kanak Chiki Boom terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sememangnya sudah memiliki pengikutnya sendiri kembali menemui penonton-penonton cilik untuk musim ke lapan mulai 17 September ini, setiap Sabtu, jam 8.00 pagi di TV2.
Menerusi tujuh musim yang lalu, program ini nyata mampu menyumbang kepada meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti kanak-kanak terhadap apa yang dipaparkan serta mendapat pengalaman yang berguna.
Chiki boom! Musim ini memperkenalkan 13 menu hidangan mudah, ringkas dan berkhasiat kepada sasaran penonton terutama kanak-kanak. Sebanyak 13 pilihan makanan yang digemari oleh kanak-kanak akan dipaparkan seperti kek cawan, piza, brownie dalam buah oren, ais krim pisang dan banyak lagi.
Antara lokasi menarik yang menjadi lokasi penggambaran untuk musim ini ialah Young Chef Academy, Awana Golf And Country Resort , Hotel Brisdale, Hotel Quality dan Academy Of Pastry Arts Malaysia.
Program majalah kanak-kanak ini memaparkan 3 segmen menarik antaranya segmen ‘nak tahu tak?’ yang merangkumi pilihan bahan dari Abu Children Item Exchange dimana RTM adalah Ahli Abu Asia Broadcasting Union. Manakala menerusi segmen ke-2 pula adalah ‘kawan kita’, dimana menerusi segmen ini chiki boom! Memberi peluang kepada kanak-kanak yang memiliki bakat istimewa seperti pemain pedang muda, pelakon teater dan banyak lagi.
Segmen terakhir ‘ringan tulang’ berkongsi memaparkan kerjasama 5 orang pengacara chiki boom! Melakukan tugas-tugas amal seperti membantu mengemas kawasan (menyapu, mengelap dan mencuci) serta membantu membuat kerja-kerja kraftangan di rumah-rumah kebajikan serta kawasan tumpuan awam seperti sungai, pantai, taman permainan dan banyak lagi.
Chiki boom! Musim ini turut menampilkan segmen kuiz teka kiub dengan hadiah-hadiah yang lebih menarik seperti kemeja-t eksklusif chiki boom, baucer penginapan 2 hari satu malam di Hotel First World Genting serta tiket masuk taman tema untuk dua orang, produk barangan strawberry, produk minuman soya Yeo’s dan banyak lagi.
Pemenang bulanan pula akan dipilih menerusi klu pembayang terkumpul setiap minggu. Syarat utama pemenang kuiz perlu mengumpulkan pembayang dari episod pertama hingga episod ketiga dan menyatakan jawapannya.
Kepada penonton ciik dan adik-adik yang mengikuti program ini sejak tujuh musim yang lalu, jangan lupa untuk menyaksikan Chiki Boom! Musim 8 yang akan bersiaran pada setiap hari sabtu jam 8.00 pagi mulai 17 september 2011 di TV2.